Input your search keywords and press Enter.

Pameran ATM Di AKM Pahang Bermula Esok

Foto Sekadar Hiasan

M Update, 27/10/2022 – Orang ramai berpeluang menyaksikan pameran aset dan kehebatan pasukan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia (AKM) ke-12 yang akan berlangsung di Kuantan, Pahang selama tiga hari bermula esok.

Timbalan Setiausaha Bahagian Khidmat Pengurusan Kementerian Pertahanan (MINDEF) Mohamed Rashdan Mohamed Razali berkata pameran berkaitan aset pertahanan dan keselamatan akan dipertontonkan kepada orang ramai oleh Tentera Darat Diraja Malaysia (TDM), Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM). 

Kementerian Pertahanan ialah kementerian peneraju bagi penganjuran Jelajah AKM ke-12 di pekarangan Stadium Darul Makmur dan Pusat Konvensyen Antarabangsa Sultan Ahmad Shah (SASICC) bermula 9 pagi hingga 9 malam. 

“Antara yang dipamerkan ialah senjata Baktar Shikan (misil), peralatan Future Soldier dan kenderaan KJA Gempita serta GK M-1 oleh TDM, selain pameran peralatan skuba dan persembahan kawad senyap oleh TLDM.

“Turut dipamerkan bahan muzium TUDM, simulasi Flait Latih Medan (simulasi penerbangan) Sekolah Latihan Tempur TUDM dan persembahan Drumline. Pameran promosi dan kerjaya bagi ketiga-tiga cabang perkhidmatan itu juga akan dilakukan,” katanya ketika ditemu bual di Nasional FM hari ini. 

Selain pameran ATM, Mohamed Rashdan berkata agensi lain di bawah MINDEF seperti Lembaga Tabung Angkatan Tentera, Perbadanan Perwira Niaga Malaysia (PERNAMA) dan Jabatan Hal Ehwal Veteran (JHEV) akan turut mengadakan pameran. 

Sementara itu, Kenduri Keluarga Malaysia sempena Jelajah AKM akan diadakan di Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah pada tengah hari Sabtu. 

Beliau berharap orang ramai merebut peluang untuk mengunjungi program jelajah berkenaan kerana pelbagai hadiah dan peluang menarik menanti pengunjung terutamanya kepada rakyat Pahang. – Bernama