Input your search keywords and press Enter.

Cuti sekolah perlu diganti

M-Update,25/3/2019, SIMPANG RENGGAM: Cuti persekolahan sempena penutupan sementara 111 sekolah di Pasir Gudang akibat pencemaran sisa kimia berbahaya di Sungai Kim Kim perlu diganti, kata Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik. Beliau berkata penggantian cuti berkenaan perlu dilakukan bagi memastikan sukatan atau silibus pembelajaran pelajar tidak terjejas.

Katanya, walaupun cuti disebabkan pencemaran gas beracun dan ianya satu bencana, penggantian kelas perlu dilakukan.“Kena ada cuti ganti, jika tidak, pasti timbul rasa tidak adil kepada mereka (pelajar) apabila tempoh dan waktu pembelajaran dipendekkan yang secara tidak langsung menyebabkan banyak mata pelajaran tertinggal,” katanya.

Maszlee berkata demikian pada sidang media selepas melawat Loji Rawatan Air (LRA) Simpang Renggam, di Kampung Kolam Air dekat sini, hari ini.Sebanyak 111 sekolah yang terkesan dengan pencemaran gas berbahaya di Sungai Kim Kim diberikan cuti sehingga 31 Mac ini bagi mengelakkan pelajar terjejas kesihatan selain membolehkan kerja-kerja pembersihan diselesaikan.

Pencemaran toksik di Sungai Kim Kim yang berlarutan sejak 7 Mac lalu itu menjejaskan hampir 6,000 penduduk termasuk pelajar sehingga 111 sekolah di Pasir Gudang diarahkan ditutup sementara.

–BHarian

Leave a Reply