Input your search keywords and press Enter.

Faktor Yang Mempengaruhi Kenaikan Harga Makanan

Sejak beberapa minggu lalu, hangat diperkatakan mengenai harga makanan mencanak, daripada sayur-sayuran hinggalah roti canai, menyebabkan kerajaan melaksanakan beberapa langkah termasuk melanjutkan tempoh harga siling dan larangan eksport.

Namun apakah punca harga barang naik dan adakah langkah yang diambil kerajaan ini akan membuahkan hasil?

FMT merungkai isu peningkatan harga makanan dan apakah langkah boleh diambil bagi menghadapinya.

Kenapa harga barang naik?

Ketua pegawai eksekutif Pusat Pendidikan Pasaran Carmelo Ferlito berkata, kenaikan harga barangan dipengaruhi isu rantaian bekalan di peringkat tempatan dan antarabangsa. Ini termasuk konflik Rusia-Ukraine yang masih berlarutan, selain lonjakan kos bahan mentah.

Di peringkat tempatan, isu seperti sekatan pergerakan yang dilaksanakan bagi membendung pandemik Covid-19 pada 2020 dan 2021, kekurangan tenaga kerja, serta pengenalan gaji minimum turut memainkan peranan, kata pakar ekonomi itu.

Beberapa minggu kebelakangan ini, harga sayur dan ikan dilaporkan melonjak masing-masing 4.5% serta 3.8%, manakala pemilik restoran meramalkan harga roti canai mungkin naik sehingga RM2.20 sekeping disebabkan harga gandum, dal, dan minyak masak yang meningkat.

Bagi ayam pula, harga runcit yang ditetapkan pada RM8.90 sekilo disambut dengan keluhan penternak kerana dilihat terlalu rendah.

Kerajaan telah menetapkan harga siling runcit ayam standard pada kadar RM9.40 sekilogram bagi Semenanjung mulai 1 Julai (Jumaat).

Ferlito berkata, perintah kawalan pergerakan (PKP) mengakibatkan kekurangan bekalan dan permintaan. Sebaik sempadan dibuka semula dan sekatan diredakan, permintaan pantas pulih, namun keadaannya berbeza bagi bekalan.

“Bagi bekalan, impaknya lebih besar kerana turut melibatkan penutupan kilang, pembuangan pekerja, dan pengehadan stok bahan mentah. Perbezaan antara permintaan dan bekalan ini mengakibatkan kenaikan harga.”

Mengulas harga ayam pula, Ferlito berkata, kos bahan mentah khususnya bahan dedak ayam seperti jagung turut naik.

“Dedak menelan 75% daripada perbelanjaan dalam penternakan ayam,” katanya.

Harga jagung bijian dan kacang soya yang digunakan dalam dedak ayam masing-masing meningkat 13% dan 11% pada April. Malah ada harga dedak yang mencecah sehingga RM1,900 setan, iaitu peningkatan daripada RM500 setan.

Harga ayam akan naik lagi?

Menurut Ferlito, untuk menurunkan harga ayam, harga siling mesti dihapuskan supaya ia dapat ditentukan oleh pasaran.

“Harga lebih tinggi akan memberi ‘isyarat’ kepada pembekal bahawa wujud peluang untuk meraih untung dalam pasaran, seterusnya pengeluar dapat melaraskan struktur pengeluaran mereka bagi memenuhi syarat permintaan yang baharu,” katanya sambil menegaskan itu bukanlah sesuatu yang buruk.

“Apabila selesai proses ini – yang memang akan mengambil masa – masalah harga akan dapat diredakan.”

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Alexander Nanta Linggi baru-baru ini mengumumkan harga siling bagi ayam dan telur, yang sepatutnya berakhir pada 5 Jun, akan dilanjutkan sehingga 30 Jun.

Berkaitan barangan makanan lain pula, Ferlito berkata, isunya adalah bekalan perlu memenuhi permintaan, dan harga barangan akan kembali pulih sebaik ini berlaku.

Apakah yang kerajaan lakukan?

Menurut Ferlito, selain membiarkan kuasa pasaran menentukan harga barangan, kerajaan boleh memberikan baucar makanan kepada golongan B40 untuk dimanfaatkan bagi pembelian barangan makanan.

Katanya, subsidi ini tidak patut berlanjutan melebihi tiga bulan – iaitu tempoh keadaan pasaran dijangka dapat dipulihkan.

“Ini lebih baik daripada bantuan tunai kerana lebih menjamin subsidi memang dibelanjakan untuk bahan makanan.”

Sumber: FMT