M-Update,25/3/2019, KUALA LUMPUR: Kerajaan tetap menyalurkan peruntukan diperlukan pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) walaupun membabitkan kos tambahan bagi memastikan polis mempunyai kelengkapan yang sesuai dan terkini. Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, berkata kerajaan prihatin terhadap keperluan pasukan polis untuk meningkatkan keupayaannya terutama apabila beban tugas semakin mencabar.
“Berdasarkan perkembangan dan cabaran semasa, PDRM bukan saja berhadapan dengan cabaran dalam konteks jenayah konvensional, ancaman pengganas ada kalanya amat luar biasa dan ini tentu menuntut agensi keselamatan terutama PDRM, menanganinya secara tegas, strategik serta berkesan.“Dalam konteks ini, kerajaan berpuas hati dengan tahap profesionalisme dan keupayaan yang diperlihatkan oleh anggota keselamatan seperti PDRM dalam memikul amanah yang dipertanggungjawabkan.
“Ini termasuklah menangani ancaman militan Daesh di negara ini,” katanya ketika berucap pada Majlis Perbarisan Peringatan Hari Polis ke-212 di Pusat Latihan Polis Kuala Lumpur (PULAPOL) di sini, hari ini. Dr Mahathir berkata, indeks jenayah merekodkan penurunan 11.9 peratus bagi tahun lalu.”Sebanyak 88,662 kes berbanding dengan nilai ambang atau ‘threshold’ sasaran sebanyak 100,611 kes.
“Statistik ini membuktikan komitmen PDRM untuk memenuhi harapan masyarakat yang sekarang ini amat peka terhadap aspek keselamatan dan kesejahteraan mereka,” katanya.Dr Mahathir berkata, setiap lapisan rakyat digesa terus bekerjasama dan membantu PDRM di dalam menangani perlakuan jenayah dan membanteras usaha dan tindakan anasir yang cuba menggugat kedaulatan negara dan ketenteraman rakyat.
“Rakyat perlu sedar walaupun amanah untuk menjaga keselamatan negara terletak dibahu PDRM, keberkesanan tindakan mereka bergantung kepada kerjasama kita.”Jika kita mengambil sikap tidak mahu ambil tahu ataupun memalingkan muka apabila berlaku sesuatu jenayah terhadap orang lain dan kita tidak mengambil inisiatif untuk melapor kepada pihak polis, penjenayah itu mungkin akan terlepas,” katanya.
Terdahulu, Dr Mahathir yang tiba pada jam 8:30 pagi, memeriksa perbarisan dengan menaiki kenderaan istiadat, diikuti lintas hormat panji dan perbarisan 15 elemen dalam PDRM.Hadir sama, Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin; Ketua Setiausaha Negara, Datuk Seri Dr Ismail Bakar; Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun; Peguam Negara, Tommy Thomas dan Pemangku Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Abdul Hamid Bador.
Peringatan Hari Polis Ke-212 disambut secara serentak di seluruh negara oleh warga PDRM dan mengekalkan tema ‘Polis dan Masyarakat Berpisah Tiada’.
–BHarian