Input your search keywords and press Enter.

Pelajar IPT Mulakan Bergerak Pulang Ke Kampung Hari ini

M Update, 27/4/2020 – Sebilangan besar pelajar di institusi pendidikan tinggi (IPT) awam dan swasta mampu tersenyum lebar, hari ini kerana akan memulakan pergerakan pulang ke kampung halaman masing-masing.

Bagi pelajar beragama Islam, sudah pasti terbayang hidangan juadah berbuka puasa yang bakal dinikmati bersama keluarga selain menjalani ibadah puasa dengan tersayang.

Langkah membawa pulang pelajar yang terkandas di kampus dan sekitar susulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) itu adalah antara sedikit kelonggaran yang diumum Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada Khamis lepas. Bagaimanapun, Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Dr Noraini Ahmad dalam kenyataan semalam, berkata pelajar yang berada dalam zon hijau sahaja dibenarkan pulang ke rumah masing-masing yang juga terletak dalam zon hijau.

Persiapan rapi dilakukan dengan kerjasama pelbagai agensi dan Kementerian Pengajian Tinggi turut menyediakan perkhidmatan pengangkutan untuk membawa pelajar dari pusat pelepasan di IPT yang telah dikenal pasti. Memetik kata Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, dianggarkan kira-kira 100,000 pelajar yang terbabit.

Sementara itu, bagi mereka yang terperangkap di kampung (bukan pelajar) atau tempat lain yang ingin pulang ke destinasi masing-masing, perlu terus bersabar. Ismail Sabri menjelaskan, tarikh pergerakan mereka yang berada di kampung untuk pulang ke destinasi masing-masing bukan bermula pada 1 Mei ini.

Katanya, terdapat kekeliruan mengenai tarikh pergerakan itu apabila Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengeluarkan kenyataan bahawa 1 sehingga 3 Mei adalah tarikh perjalanan dibenarkan bermula. Ismail Sabri berkata, tarikh yang ditetapkan sehingga 1 Mei itu adalah pendaftaran melalui temu janji di balai polis, selain pendaftaran melalui aplikasi Gerak Malaysia.

Setakat ini, sebanyak 300,000 sudah mendaftar dengan aplikasi itu termasuk 100,000 yang memohon untuk mendapatkan permit pergerakan bagi melakukan perjalanan kerana terkandas di kampung halaman dan tidak sempat pulang ke rumah masing-masing susulan PKP.

Katanya, selepas mendapat data dan maklumat daripada permohonan orang ramai itu, Majlis Keselamatan Negara, Kementerian Kesihatan dan Polis Diraja Malaysia akan membincangkan Prosedur Operasi Standard termasuk menetapkan tarikh pergerakan itu. – Bernama

Leave a Reply