Input your search keywords and press Enter.

Mahkamah kurangkan ikat jamin suspek buang sisa toksik

M-Update,27/3/2019, JOHOR BAHRU: Mahkamah Tinggi di sini, hari ini membenarkan ikat jamin RM250,000 terhadap seorang pengarah syarikat warga Singapura yang sebelum ini tidak dibenar dijamin bagi pertuduhan membuang dan bersubahat melupuskan sisa toksik ke Sungai Kim Kim, awal bulan ini. Mahkamah turut memutuskan jaminan yang dikenakan ke atas pemandu lori dan seorang pengarah syarikat dikurangkan, masing-masing kepada RM30,000 dan RM150,000 bagi pertuduhan sama.

Hakim Datuk Ahmad Kamal Md Shahid, turut membuat keputusan itu selepas membuat semakan kehakiman keputusan Mahkamah Sesyen pada Ahad lalu, ke atas N Maridass, 35; Yap Yoke Liang, 42; dan warganegara Singapura, Wang Jing Choa, 34.Dalam keputusan selepas mendengar rayuan kedua-dua belah pihak pendakwaan dan pembelaan, Ahmad Kamal membenarkan wang jaminan terhadap Maridass dikurangkan daripada RM100,000 kepada RM30,000.

“Mahkamah turut mengurangkan jaminan ke atas Yoke Liang daripada RM250,000 kepada RM150,000 dan lain-lain keputusan iaitu seorang penjamin perlu melaporkan diri ke Balai Polis Pasir Gudang setiap 1 hari bulan sehingga selesai prosiding, dikekalkan.“Bagi Jing Choa yang sebelum ini tidak dibenarkan dijamin, mahkamah membenarkan ikat jamin RM250,000 bersama dua orang penjamin tempatan, selain perlu melapor duru setiap 15 hari bulan di balai polis sama dan pasport perlu diserahkan kepada mahkamah,” katanya.

Ahmad Kamal dalam alasan penghakimannya menganggap hakim Mahkamah Sesyen terkhilaf memberi ikat jamin yang tinggi dan tidak membenarkan tertuduh warga Singapura diikat jamin.Mengikut kertas pertuduhan, Maridass didakwa melupuskan buangan terjadual di bawah Kod SW311 iaitu buangan minyak atau enap cemar berminyak seperti dalam senarai Jadual Pertama Peraturan-peraturan Kualiti Alam Sekitar (Buangan Terjadual) 2005 ke dalam Sungai Kim Kim.

Yoke Liang dan Jing Choa pula dituduh bersama-sama bersubahat dengan Maridass melakukan perbuatan terbabit.Perbuatan itu didakwa dilakukan semua tertuduh menggunakan lori jenis Mitsubishi semi treler minyak sawit tanpa kelulusan bertulis daripada Ketua Pengarah Kualiti Alam Sekeliling.

Mereka dituduh melakukan kesalahan itu di kawasan tapak projek pelebaran jambatan Sungai Kim Kim, Jalan Kota Masai 1, Pasir Gudang antara 12 tengah malam hingga 1 pagi pada 7 Mac lalu.Bagi perbuatan itu, mereka didakwa mengikut Seksyen 34B(1)(a) Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 34B (4) akta sama, manakala pendakwaan terhadap Yap dan Wang juga dibaca bersama Seksyen 42 akta yang sama.

–BHarian

Leave a Reply