Input your search keywords and press Enter.

Sultan Selangor titah SPRM kekal bebas

SULTAN Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah (dua, kanan) bersama Tengku Permaisuri Norashikin (tiga, kanan) serta Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah (kiri) berkenan hadir ke majlis perasmian Kompleks Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Negeri Selangor di Seksyen 16, Shah Alam, semalam. Mengiringi baginda ialah Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Mohd Shukri Abdull (kanan). – BERNAMA

M-Update,27/3/2019, SHAH ALAM – Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah menitahkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) supaya kekal menjadi badan yang bebas daripada sebarang pengaruh mana-mana pihak termasuk orang politik.Titah Sultan Sharafuddin, SPRM seharusnya melaksanakan tugas dengan telus, berani dan tidak memihak kepada sesiapa atau dengan kata lain without fear or favour.

“Pegawai-pegawai penyiasat SPRM hendaklah diberi kebebasan dengan kuasa yang ada kepada mereka untuk menjalankan tugas penyiasatan secara profesional tanpa arahan-arahan tertentu yang boleh mengganggu penyiasatan mereka. “Dengan jalan ini, SPRM akan dilihat sebagai satu badan yang boleh dipercayai oleh rakyat bagi membanteras gejala rasuah dan sekaligus menepis tanggapan negatif rakyat terhadap SPRM berkaitan ketelusan di dalam menjalankan amanah,” titah ba­ginda.

Baginda bertitah demikian ketika merasmikan bangunan baharu Kompleks SPRM negeri yang terletak di Seksyen 16 di sini. Turut berangkat mengiringi baginda ialah Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin dan Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah.Keberangkatan baginda di­sambut Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Mohd. Shukri Abdull; Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Azam Baki dan Pengarah SPRM Sela­ngor, Datuk Alias Salim.

Dalam pada itu, Sultan Sha­rafuddin turut bertitah agar SPRM memberi maklumat secukupnya kepada rakyat tentang penguatkuasaan yang dilakukannya selain hasil daripada siasatan yang dibuat juga perlu disampaikan ke pengetahuan rakyat secara berkesan.Titah Sultan Selangor, baginda sering mendengar aduan dan rungutan orang ramai bahawa terdapat aduan-aduan rasuah tidak diketahui kesudahannya.

“Akhbar-akhbar banyak melaporkan tentang tangkapan dan tahanan reman yang dibuat terhadap mereka yang disyaki, namun kesudahannya sama ada mereka ini dituduh di mahkamah atau sebaliknya tidak diketahui.

“Persoalan yang dibangkitkan oleh rakyat adalah sama ada mereka yang dilapor melakukan rasuah ini adakah benar-benar telah disiasat dan diadili mengikut undang-undang. Pihak SPRM seharusnya memberikan maklumat secukupnya kepada rakyat tentang tindakan penguatkuasaan dilakukannya.“Maklumat yang lengkap tentang hasil siasatan ini penting bagi mengelak daripada persepsi bahawa sesetengah pihak dibebaskan tanpa sebarang tindakan dan SPRM tunduk kepada pihak-pihak tertentu di dalam melaksanakan tugas mereka,” titah baginda.

Pada masa sama, Sultan Sharafuddin turut berkenan de­ngan usaha dan komitmen SPRM, kerajaan negeri serta rakyat di dalam memerangi gejala rasuah dalam memastikan Selangor bebas daripada gejala rasuah dan salah guna kuasa.“Beta percaya sekiranya komitmen yang tinggi ini diterjemahkan kepada perlaksanaan pentadbiran jujur dan amanah, pastinya rakyat dapat menikmati kemakmuran dan kekayaan yang terdapat di negeri Selangor khususnya dan di negara kita amnya.

“Beta ingin menasihatkan agar para pemimpin negeri serta penjawat awam sentiasa menitikberatkan etika kerja yang berlandaskan nilai-nilai murni dan kejujuran yang tinggi semasa menjalankan tugas yang diamanahkan kepada mereka,” titah baginda.

–UTUSAN

Leave a Reply