Input your search keywords and press Enter.

KISAH HASHIM SOMALIA DAN AYAM BAKAR MADU BOB DI NEW YORK

Ada satu pengalaman saya perlu dikongsikan untuk pembaca sekalian. Semasa di Amerika Syarikat, saya menetap di Walnut Street, Philadelphia kira-kira dua jam menuju ke New York. Kawasan tersebut dipilih kerana berdekatan dengan Universiti Pennsylvania, sekolah, pusat kesihatan dan pasaraya. Selain daripada pelajar-pelajar Malaysia, terdapat juga rakyat Malaysia yang sudah bermastautin lama di sana kerana faktor pekerjaan, anak-anak dan kesihatan.

Saya berjiran dengan Hashim seorang Somalia yang berhijrah ke Amerika Syarikat kesan daripada peperangan yang berpanjangan. Hashim asalnya seorang bakal doktor tetapi peperangan di Somalia menyebabkan cita-citanya berkecai. Dia berhijrah ke Amerika Syarikat dan kini menjadi warganegara Amerika Syarikat selepas lebih 20 tahun menetap. Anak-anaknya bersekolah di sekolah yang terbaik di Philadelphia. Hashim bekerja di Unversiti Pennyslavania.

Setiap hari Hashim membawa beg sandang bekalan makanan. Saya terkejut isi beg bukanlah nasi atau roti, tetapi buah-buahan seperti pisang, epal dan limau. Katanya dia pergi bekerja berjalan kaki setiap hari dalam 5km. Tahukah anda, sepanjang 10 tahun dia tidak pernah pergi ke hospital kerana dia tidak pernah mengalami sakit yang terok. Mungkinkah rahsianya makan banyak buah-buahan dan minum air mineral?

Beberapa keluarga rakyat Malaysia yang sudah menetap lama di sana memberikan gambaran yang unik kepada saya. Salah seorang popular dipanggil Bob berasal dari Kuala Lumpur dan isterinya juga orang Malaysia. Bob orang pertama melawat saya. Pelajar-pelajar Malaysia sekitar Philadelphia, Ohio States dan New York sering menyebut nama Bob.

Rupa-rupanya Bob dan keluarganya tempat tumpuan pelajar-pelajar Malaysia sekian lama untuk melepaskan keletihan di hujung minggu dan pertemuan silaturahim. Setidak-tidaknya dapat merasakan ayam bakar madu Bob yang sedap itu setiap kali ada pertemuan rakyat Malaysia di rumahnya.

Saya sempat mengunjungi rumah Bob di pinggir bandar, bagi saya Bob adalah seorang yang berjaya di negara Amerika Syarikat. Namun, Bob tidak sombong kerana dia sering melawat dan membantu pelajar-pelajar Malaysia. Ketika bersembang keadaan politik dan ekonomi Malaysia, Bob seorang yang optimis dan reformis minda yang memandang ke hadapan.

Kerajaan khususnya melalui JPA, MARA, Bank Negara, Petronas dan sebagainya menghantar ramai pelajar-pelajar cemerlang di peringkat SPM dan matrikulasi ke Amerika Syarikat. Satu perkara yang perlu diberi penekanan berterusan ialah pengukuhan aspek Kenegaraan termasuklah nilai-nilai agama dan patriotisme. Mereka perlu disedarkan bahawa Kerajaan menghantar mereka ke luar negara menggunakan wang cukai dari rakyat. Oleh itu, amat penting mereka menggunakan peluang yang diberikan dengan fokus kepada pembelajaran. Apabila tamat mereka akan balik semula ke Malaysia membangunkan pula negara dengan ilmu dan pengalaman yang mereka perolehi di luar negara. Jika mereka mendapat tawaran yang lebih lumayan di luar negara, sudah pasti ada mekanisme yang disediakan Kerajaan supaya mereka boleh berkidmat kepada negara di luar negara sebagaimana dilakukan oleh Bob dan rakyat Malaysia yang lain.

Kesimpulannya, apa pun peluang yang diberikan oleh Kerajaan dan Negara kita di luar negara perlulah disulami dengan disiplin dan kesungguhan yang tinggi. Seperti kata YAB Perdana, Tun Dr. Mahathir Mohamad di Perhimpunan Bulanan, Jabatan Perdana Menteri baru-baru ini, tidak kira apa kedudukan kita, yang penting ialah keikhlasan, kejujuran dan kesungguhan membina negara yang tercinta ini.

Leave a Reply