Input your search keywords and press Enter.

Wanita Ditahan Ketika Ceroboh Kelab Mar-a-Lago Milik Trump

M Update 03/04/2019 – Seorang wanita warga China yang berjaya melepasi pemeriksaan keselamatan di pusat peranginan Mar-a-Lago milik Presiden Donald Trump di sini, ditahan kerana memberi kenyataan palsu kepada pihak berkuasa.

Menurut dokumen mahkamah, wanita itu ditahan kerana memasuki kawasan larangan dan didapati membawa pemacu komputer yang disyaki mengandungi perisian kod hasad.

Dokumen itu difailkan oleh Perkhidmatan Perisikan pada Isnin lalu di Mahkamah Daerah Selatan Florida.

Mengikut dokumen itu, Yujing Zhang mendekati ejen Perkhidmatan Perisikan pada tengah hari Sabtu lalu, ketika mereka sedang memeriksa tetamu yang ingin memasuki kelab berkenaan.

Ketika kejadian, Zhang menunjukkan dua pasport China yang memaparkan gambarnya, dan menyatakan hasratnya untuk pergi ke kolam renang.

“Pegawai Perkhidmatan Perisikan gagal menemui namanya dalam senarai tetamu yang dibenarkan memasuki kawasan itu.

“Seorang pengurus kelab mengesahkan seorang lelaki bernama Zhang adalah ahli kelab itu, tetapi Yujing Zhang gagal memberi jawapan sama ada lelaki itu adalah bapanya,” kata afidavit yang difailkan oleh Perkhidmatan Perisikan kepada mahkamah.

Afidavit itu juga menjelaskan bahawa kakitangan membenarkan beliau memasuki pusat peranginan itu, atas andaian Yujing mempunyai hubungan kekeluargaan dengan ahli terbabit.

“Kakitangan pusat peranginan mula mengesyaki sesuatu selepas Zhang gagal memberi penjelasan mengenai tujuan beliau mengunjungi Mar-a-Lago,” kata afidavit itu.

Terdahulu, Zhang dilaporkan berkata, beliau berada di Mar-a-Lago bagi menghadiri majlis anjuran Persatuan China Amerika Syarikat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.

Namun, menurut dokumen mahkamah, kakitangan mendapati tiada acara seperti itu dianjurkan di pusat peranginan berkenaan. – Reuters

Leave a Reply