Input your search keywords and press Enter.

Dr Mahathir kecewa teknologi dibangunkan untuk membunuh manusia

M Update, 5/4/2019 – Tun Dr Mahathir Mohamad melahirkan kekecewaan terhadap tindakan sesetengah pihak yang menghabiskan wang dan masa melakukan penyelidikan bagi mencipta senjata daripada keperluan lain yang lebih bermanfaat.

Perdana Menteri berkata, beliau lihat banyak wang dan masa dihabiskan terhadap produk inovasi yang membunuh orang dengan membangunkan senjata daripada perkara lain yang lebih berfaedah.

“Saya bercakap berkenaan teknologi dan inovasi, kita mempunyai kuasa besar sekarang iaitu kita boleh menggunakan mikrocip untuk membuat bermacam-macam benda tetapi tumpuan kini kepada senjata dan membunuh orang,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan dalam sesi soal jawab pada penutup Forum CEO 2019 anjuran Yayasan Kepemimpinan Perdana semalam. Dr Mahathir memberi contoh, dalam aspek teknologi dan inovasi, beliau menjangkakan Pameran Aeroangkasa dan Maritim Antarabangsa Langkawi 2019 (LIMA ’19) sebagai acara pertunjukan berskala kecil membabitkan pesawat kecil.

“Kita ada LIMA, saya buat untuk jadikan pameran pesawat ringan dan membangunkan teknologi pesawat tapi kini apa yang kita nampak adanya jet pejuang yang besar.. ini kita raikan. Apa guna pesawat pejuang ini? Untuk bunuh orang… begitu juga dengan roket yang dipamerkan untuk apa? Semua ini untuk bunuh orang?” katanya.

Perdana Menteri berkata pembangunan dan penyelidikan yang membabitkan perbelanjaan besar tidak sepatutnya ditumpukan kepada usaha membangunkan teknologi persenjataan sahaja, sebaliknya memberikan kemudahan dan kesejahteraan kepada orang ramai.

Katanya, beliau kecewa dengan sikap manusia yang menyalahgunakan kuasa dengan memberi tumpuan kepada pembinaan senjata bagi melakukan kekejaman. Wang yang begitu banyak sepatutnya digunakan bagi perkara memberi manfaat dan bukannya dibazirkan dengan membina senjata,” katanya. – BH Online

Leave a Reply