Input your search keywords and press Enter.

PM : IPCMC bolehkan siasatan bebas ke atas polis

M Update, 5/4/2019 – Penubuhan Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis (IPCMC) membolehkan siasatan bebas dilaksanakan membabitkan polis, termasuk dakwaan pembabitan Cawangan Khas Bukit Aman dalam kes penculikan aktivis sosial, Amri Che Mat dan pastor Raymond Koh Keng Joo.

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, berkata dengan itu kerajaan memang tidak akan campur tangan dalam kes itu. Suruhanjaya itu adalah bebas, oleh itu kita tidak tahu apa yang mereka mahu lakukan. Terserah kepada mereka mahu siasat atau tidak. Kita (kerajaan) tidak akan campur tangan,” katanya pada sidang media selepas menyampaikan ucaptama menutup Forum CEO 2019 anjuran Yayasan Kepemimpinan Perdana di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ditanya mengenai desakan pelbagai pihak supaya penubuhan IPCMC dipercepatkan selepas Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (SUHAKAM) mendakwa polis Cawangan Khas (SB) bertanggungjawab terhadap kehilangan paksa Raymond dan Amri.

Sementara itu, ditanya sama ada beliau sudah menerima laporan rasmi daripada SUHAKAM berhubung isu itu katanya, beliau tidak menerimanya tetapi maklum mengenai perkara itu. Bagaimanapun, beliau menegaskan kerajaan akan bertindak jika benar dakwaan itu.

Semalam, Dr Mahathir berkata SUHAKAM perlu mengemukakan bukti berhubung dakwaan mengatakan polis Cawangan Khas (SB) Bukit Aman bertindak ‘menghilangkan’ pastor Raymond Koh serta aktivis dari Perlis, Amri Che Mat. – BH Online

Leave a Reply