Input your search keywords and press Enter.

Amal Clooney Jaga Kebajikan Wartawan, Media.

M Update, 08/04/2019 – “Keganasan terhadap wartawan sudah mencapai tahap membimbangkan di seluruh dunia dan kita tidak boleh terus mendiamkan diri.

Setiausaha Luar Britain, Jeremy Hunt, melantik peguam hak asasi terkenal, Amal Clooney, sebagai ‘wakil khas mengenai kebebasan media’, yang akan mempengerusikan bersama panel pakar perundangan bagi menangani undang-undang zalim di beberapa negara yang menghalang wartawan melakukan tugas mereka.

Kementerian Luar mengakui bahawa 2018 adalah tahun paling buruk bagi wartawan, dengan 99 terbunuh, 348 ditahan dan 60 dijadikan tebusan oleh kumpulan haram, menambah panel itu akan menyokong negara yang mahu memansuhkan undang-undang ketinggalan zaman dan mengukuhkan mekanisma untuk melindungi wartawan.

“Media mempunyai peranan penting untuk membuat laporan. Tiada ragu-ragu lagi bahawa undang-undang zalim dan ketinggalan zaman di seluruh dunia digunakan untuk mengehadkan kemampuan media melaporkan kebenaran.”

Katanya, kejayaan Clooney dalam kes hak asasi manusia bermakna beliau menjadi tokoh paling tepat untuk memastikan kempen itu memberi impak sebenar kepada wartawan dan masyarakat bebas yang bergantung kepada kerjaya mereka.

Panel itu berfungsi memberikan nasihat kepada kerajaan yang mahu mengukuhkan mekanisma perundangan untuk memperbaiki kebebasan media; menyokong pemansuhan undang-undang zalim dan ketinggalan zaman; menggalakkan kerajaan membantu memastikan undang-undang sedia ada dan peraturan antarabangsa dikuat kuasa dan mempromosikan cara terbaik dan peraturan model untuk melindungi kebebasan akhbar.

Sementara itu, Clooney menegaskan sebagai peguam yang berusaha melindungi peguam, beliau sudah menyaksikan golongan itu menjadi sasaran dan dipenjarakan dalam usaha membuatkan mereka menutup mulut dan menghalang kebebasan media.

“Saya menyambut baik fokus kerajaan terhadap isu ini pada ketika wartawan dibunuh dan dipenjarakan di seluruh dunia mencapai rekod tertinggi dan tidak sabar untuk bekerja dengan inisiatif baru perundangan yang dapat membantu memastikan tindak balas antarabangsa yang lebih berkesan,” katanya. — Agensi

Leave a Reply