Input your search keywords and press Enter.

Artis tumbuk pengawal keselamatan ditahan

M Update, 8/4/2019 – Seorang pelawak terkenal yang menumbuk dan menendang pengawal keselamatan di Taman Acacia, Nilai, ditahan polis petang semalam. Difahamkan, lelaki berusia 49 tahun itu ditahan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Nilai ketika hadir untuk memberi keterangan dan akan direman sehingga pagi ini bagi membolehkan polis menjalankan siasatan lanjut berhubung kejadian tersebut.

Ketua Polis Daerah Nilai, Superintendan Mohd Nor Marzukee Besar mengesahkan pihaknya sudah memanggil lelaki itu untuk diambil keterangan petang semalam. Dalam kejadian tersebut, pengawal keselamatan berusia 70 tahun ditendang dan dibaling batu oleh suspek dalam kejadian jam 8 malam Sabtu.

Suspek yang memandu Proton Perdana memasuki kawasan perumahan tanpa kebenaran selepas mengekori kenderaan seorang penduduk di kawasan perumahan berkenaan. Selepas itu, mangsa menutup palang pos keselamatan dan mengejar kenderaan berkenaan. Selang beberapa minit lelaki itu ingin keluar tetapi tidak boleh kerana palang ditutup.

Lelaki itu turun dari kenderaan sebaik saja mangsa sampai lalu berlaku pertengkaran dan lelaki itu menumbuk muka mangsa sebanyak tiga kali selain menendang pinggang serta membaling batu. – HM Online

Leave a Reply