M Update, 9/4/2019 – Polis sedang memburu dua wanita dipercayai warga Indonesia yang disyaki mencuri rantai emas seberat 42.28 gram di kedai emas di Bandar Kuala Berang, Hulu Terengganu, 6 April lalu.
Kejadian 2.37 petang itu disedari selepas pemilik kedai, Nazali Sidek, 52, dari Kampung Pengkalan Setar melihat semula rakaman kamera litar tertutup (CCTV) pada 8 April sebaik menyedari seutas rantai emas berharga RM7,350 hilang.
Menerusi rakaman CCTV itu, kelihatan dua suspek wanita bertudung memasuki kedai emas berkenaan dan meminta Nazali mengeluarkan dua utas rantai emas.
Kedua-dua suspek menyamar sebagai pelanggan yang ingin membeli barang kemas itu. Bagaimanapun ketika proses pemilihan barang kemas itu dibuat, seorang daripadanya bertindak menyorokkan rantai berkenaan menggunakan tangan kiri.
Wanita itu seterusnya memasukkan rantai yang disoroknya itu ke dalam beg tangan yang dibawa bersama.
Hebahan imej suspek yang dirakam melalui rakaman CCTV sudah diedarkan kepada unit bantuan lain untuk tindakan segera.
Orang ramai yang mempunyai maklumat bersabit dua suspek itu boleh menghubungi Balai Polis Daerah Hulu Terengganu di talian 09-6811222 atau 09-6812419.
Sumber : Harian Metro