Input your search keywords and press Enter.

Iran Sedia Dana RM8 Bilion Bantu Mangsa Banjir

M Update, 15/04/2019 –  Pemimpin tertinggi Iran, Ayatollah Ali Khamenei dilaporkan sudah meluluskan peruntukan sehingga AS$2 bilion (RM8.2 bilion) dari dana pelaburan negara, bagi membiayai pemberian bantuan dan pelan pembangunan semula susulan kejadian banjir, baru-baru ini.

Semalam, Menteri Dalam Negeri, Abdolreza Rahmani Fazli, berkata hujan lebat yang melanda seluruh negara mengakibatkan kerosakan jalan raya, jambatan, kediaman dan ladang, yang dianggarkan bernilai AS$2.5 bilion (RM10.28 bilion).

Sekurang-kurangnya 76 maut, manakala lebih 220,000 penduduk terpaksa berpindah ke pusat perlindungan sementara, berikutan kejadian banjir yang disifatkan paling buruk dalam tempoh 70 tahun itu.

“Kita akan menggunakan Dana Pembangunan Kebangsaan, jika tiada sumber lain,” kata Ayatollah Ali Khamenei dalam sepucuk surat kepada Presiden Hassan Rouhani, yang disiarkan menerusi stesen televisyen tempatan.

Bagaimanapun, beliau menggesa kerajaan untuk mencari sumber lain, sebelum menggunakan dana pelaburan negara bagi membiayai program bantuan kepada mangsa banjir.

Sementara itu, di Geneva, Persekutuan Palang Merah Antarabangsa dan Persatuan Bulan Sabit Merah, menganggarkan dua juta penduduk memerlukan bantuan kemanusiaan, susulan kejadian banjir berkenaan.

Berikutan itu, kedua-dua agensi berkenaan merayu bantuan sebanyak AS$5.1 juta (RM20.97 juta) daripada masyarakat antarabangsa, untuk disumbangkan kepada Persatuan Bulan Sabit Merah Iran.

Dana itu bertujuan membantu 30,000 keluarga atau kira-kira 150,000 penduduk. – Reuters

Leave a Reply