M-Update,16/4/2019, CYBERJAYA: Tiada keperluan mendesak pada masa ini bagi Malaysia untuk membina kereta api berkelajuan tinggi (HSR), kata Tun Dr Mahathir Mohamad. Perdana Menteri berkata, fokus utama kerajaan ketika ini adalah untuk meningkatkan jaringan sistem kereta api menerusi teknologi elektrik dan penggunaan landasan berkembar.
“Pada masa ini, kereta api berkelajuan tinggi bukan keperluan, terutama apabila ia hanya menyambungkan Singapura dan Kuala Lumpur.“Jadi, kita tak akan bina lagi HSR buat masa ini, tapi kita mahu mempertingkat kualiti dan perkhidmatan sistem kereta api sedia ada. Ini boleh dilakukan dan ada yang sudah dilakukan seperti penggunaan teknologi elektrik dan landasan berkembar.
“Teknologi elektrik tidak mencemarkan alam sekitar dan pada masa sama mempercepatkan perjalanan, manakala landasan berkembar membolehkan tren melepasi satu sama lain tanpa berhenti,” katanya pada sesi soal jawab selepas Majlis Pembukaan Technomart Rel 2019, di sini hari ini.Dr Mahathir berkata, kerajaan mungkin mewujudkan HSR kemudian bagi menghubungkan Johor Bahru di selatan dan Pulau Pinang di utara, malah landasan mungkin dipanjangkan sehingga sempadan Thailand.
“Tapi perkara ini tidak dibincangkan bersama Singapura kerana perjanjian kita hanya bagi perkhidmatan antara Singapura ke Kuala Lumpur,” katanya.Pada 5 September lalu, Singapura bersetuju menggantung pembinaan projek itu sehingga akhir Mei 2020 susulan permohonan Malaysia.
Berikutan itu, kerajaan bersetuju membayar kos penangguhan S$15 juta (RM45 juta) kepada Singapura sebelum 31 Januari 2019.Awal Februari lalu pula, Kementerian Pengangkutan Singapura dilaporkan berkata, Malaysia sudah membuat bayaran kos penangguhan pelaksanaan projek HSR berkenaan.
–BHarian