Input your search keywords and press Enter.

Pendengaran awam RCI Wang Kelian bermula hari ini

M-Update,17/4/2019, PUTRAJAYA: Sesi pendengaran awam Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai penemuan kem penempatan sementara dan kubur di Wang Kelian, Perlis bermula jam 9.30 pagi tadi di Kementerian Dalam Negeri (KDN) di sini. Sesi berkenaan dimulakan dengan ucapan pembukaan oleh Pengerusi RCI, Tun Arifin Zakaria. Arifin berkata, penubuhan RCI berkenaan mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong pada 29 Januari lalu.

Katanya, selain beliau, ahli RCI berkenaan terdiri daripada bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Norian Mai selaku Timbalan Pengerusi; bekas Ketua Pendakwaan Jabatan Peguam Negara, Datuk Noobahri Baharuddin; Pengerusi Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (SUHAKAM), Tan Sri Razali Ismail; bekas Ketua Penyelidik Jabatan Peguam Negara, Datuk Junaidah Abd Rahman; bekas Duta Malaysia ke Thailand, Datuk Nazirah Hussain; bekas Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara, Dr Tan Seng Giaw dan Yusran Shah Mohd Yusof selaku Setiausaha RCI.

“Selain itu, RCI juga dibantu dua Pegawai Pengendali iaitu Khairul Anuar Abd Halim dan Saiful Hazmi Mohd Saad,” katanya.Arifin berkata, terma rujukan RCI berkenaan adalah meneliti semua dokumen dan bukti berkaitan kes penemuan kem penempatan sementara serta kubur di Wang Kelian, Perlis dan menyiasat kejadian penemuan berkenaan.

“Selain itu, menyiasat prosedur semasa dan selepas kejadian yang dilaksanakan pihak berkuasa, menjalankan siasatan (inkuiri) terhadap pegawai penyiasat, saksi dan mana-mana individu difikirkan perlu dan menyiasat sama ada penambahbaikan sudah dilaksanakan terhadap prosedur penguatkuasaan selepas kejadian.

“Ia juga bagi mengenal pasti implikasi terhadap negara selepas kejadian, mengesyorkan tindakan dan penambahbaikan yang boleh diambil kerajaan dan mengemukakan laporan siasatan kepada Yang di-Pertuan Agong,” katanya.

Arifin juga turut menyeru mana-mana individu atau pertubuhan bukan kerajaan atau mana-mana pihak yang mempunyai maklumat berkaitan penemuan kem penempatan dan kubur di Wang Kelian supaya berhubung dengan pihak urusetia dengan merujuk portal RCI Wang Kelian di laman web KDN.

Sementara itu, prosiding pagi ini dimulakan dengan memanggil saksi pertama Koperal Mat Ten yang bertugas di Batalion Tiga, Pasukan Gerakan Am (PGA) Bidong, Kedah.

–Bharian

Leave a Reply