Input your search keywords and press Enter.

Rasuah: 30 individu, termasuk 24 penguatkuasa JPJ direman

M-Update,17/4/2019, GEORGETOWN: Mahkamah Majistret di sini, hari ini, membenarkan permohonan reman selama tujuh hari terhadap 30 individu, termasuk 24 penguatkuasa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Pulau Pinang. Perintah reman berkuatkuasa sehingga Selasa hadapan itu dikeluarkan Penolong Pendaftar Kanan, Nur Fadrina Zulkhairi, bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.

Bagaimanapun, tiga wanita daripada 33 suspek yang ditahan semalam, dibebaskan dengan jaminan SPRM. Mereka dipercayai berperanan sebagai proksi bagi kes terbabit.Terdahulu, bas membawa semua suspek mengalami kebakaran kecil, dikatakan berpunca daripada kebocoran minyak hitam yang masuk ke bahagian ekzos kenderaan terbabit, kira-kira jam 9 pagi.

Ketika kejadian, bas terbabit dari Lokap Berpusat Bayan Baru dengan kebakaran itu dipadamkan kakitangan SPRM menggunakan alat pemadam api, di tepi Lebuhraya Tun Dr Lim Chong Eu di Jelutong, dekat sini.Semalam, semua suspek berusia 31 hingga 54 tahun ditahan di sekitar Pulau Pinang dalam operasi khas SPRM, pada jam 10 pagi hingga 4 petang.

Selain penguat kuasa JPJ, lapan termasuk tiga wanita adalah orang awam, dipercayai menjadi proksi kepada penguatkuasa agensi itu, tonto serta pemilik syarikat.Difahamkan, 24 penguatkuasa JPJ berjawatan daripada Gred 19 hingga Gred 32 itu adalah sebahagian daripada 75 pegawai agensi itu yang dipantau SPRM ketika ini.

Selain itu, terdapat sekurang-kurangnya 75 pegawai JPJ disyaki menerima rasuah daripada pemilik syarikat lori dengan tangkapan dijangka dibuat dalam operasi seterusnya.Setiap anggota JPJ terbabit dipercayai menerima bayaran antara RM10,000 hingga RM32,000 secara bulanan sebagai dorongan untuk melindungi pemandu lori lebih muatan dengan tidak mengambil tindakan.

Mereka juga turut dikesan membocorkan maklumat operasi yang akan dan sedang dijalankan JPJ, selain kumpulan lori berkenaan dilindungi menggunakan pelekat khas yang dikatakan hanya dikenali dan difahami penguat kuasa terbabit.

–BHarian

Leave a Reply