M Update, 22/04/2019 – Kejadian banjir di timur Kanada memaksa perpindahan lebih 1,500 penduduk sementara lebih 600 askar dikerah untuk membantu, kata pihak berkuasa semalam.
Cuaca panas ketika sambutan Easter semalam membawa banjir musim bunga akibat hujan lebat dan salji mencair dari Ontario ke selatan Quebec dan New Brunswick.
Pihak berkuasa yang pada mulanya bimbang dengan berulangnya banjir buruk di Quebec pada 2017, paling dahsyat sejak setengah kurun lalu, jelas yakin dengan situasi dihadapi semalam.
“Kami optimis dengan hari akan datang. Ada banjir berlaku namun secara keseluruhan bukan di paras dialami pada 2017, kecuali sesetengah kawasan seperti Tasik St Pierre.
“Perbezaan pada 2017 ialah tahap persediaan di peringkat perbandaran dan masyarakat,” kata jurucakap keselamatan awam, Eric Houde.
Sejak beberapa hari lalu, bandar menggerakkan sukarelawan dan mengagihkan ratusan ribu beg pasir untuk membina penghadang atau melindungi rumah di kawasan terancam.
Kawasan paling terjejas adalah sekitar Ottawa dan Beauce, rantau selatan Quebec City di mana hampir 800 orang dipindahkan. Lebih 1,200 rumah terjejas akibat banjir di Quebec lewat semalam.
Kerajaan perbandaran di Quebec dan New Brunswick memohon bantuan daripada tentera. Kira-kira 200 askar dikerah di Quebec lewat kelmarin dan 400 lagi berhampiran Ottawa di Laval, utara bandar ini serta Trois-Rivieres antara Montreal dan Quebec City.
Tambahan 120 askar bersedia digerakkan ke New Brunswick. Kelmarin, banjir meragut mangsa pertama di Pontiac, barat Ottawa, lelaki berusia 70-an yang memandu kereta ke dalam sungai akibat tidak perasan jambatan sudah dihanyutkan. -AFP