M Update, 22/4/2019 – Seorang petugas zoo cedera parah di bahagian belakang kepala dan leher selepas diserang seekor harimau Sumatera, kelmarin, sebelum haiwan itu berjaya ditenteramkan petugas lain yang menggunakan makanan sebagai umpan.
Jurucakap bandar Topeka, Molly Hadfield ketika dihubungi melalui telefon berkata, insiden berkenaan berlaku di Zoo Topeka di sini dan mangsa seorang wanita dilaporkan berada dalam keadaan stabil.
Pengarah zoo, Brendan Wiley dalam satu sidang media berkata, wanita berkenaan adalah penjaga harimau di Pusat Perlindungan dan Zoo Topeka serta berada di dalam kandang haiwan itu ketika diserang. Menurut Wiley, harimau berusia tujuh tahun dikenali sebagai Sanjiv itu secara tiba-tiba memasuki kandang dan ia tidak seharusnya berlaku ketika mana-mana individu berada di dalam kawasan berkenaan.
Ada sedikit kesilapan berlaku. Beberapa petugas kami menyaksikan satu kejadian yang anda harap tidak akan berlaku sepanjang bertugas,” katanya sambil menambah, insiden itu disiasat secara terperinci. Wiley berkata, kejadian ngeri itu disaksikan beberapa pengunjung. Selepas hampir 10 minit, beberapa petugas lain berjaya mengumpan harimau itu masuk ke dalam kurungan dengan menggunakan makanan,” katanya.
Susulan kejadian, Zoo Topeka ditutup hampir 45 minit manakala kesemua enam harimau termasuk Sanjiv dan empat anak haiwan itu dimasukkan ke dalam kurungan. – HM Online