Input your search keywords and press Enter.

Pemimpin Dunia Kutuk Serangan Sri Lanka

M Update, 22/04/2019 – Pemimpin agama dan dunia mengutuk siri serangan bom di Sri Lanka yang mengorbankan lebih 200 orang semalam termasuk puluhan rakyat asing dari Britain, Belanda dan Amerika Syarikat (AS).

Perdana Menteri Britain, Theresa May menyifatkan serangan itu sebagai benar-benar mengejutkan.

“Tindakan keganasan ke atas gereja dan hotel di Sri Lanka benar-benar mengejutkan dan perasaan simpati mendalam saya kepada semua yang terjejas ketika waktu tragik ini.

“Kita perlu bersatu untuk memastikan tiada seorang pun perlu mengamalkan fahaman dalam ketakutan,” tweet beliau.

Sumber hospital juga berkata, warga Jepun antara yang cedera dalam serangan bom yang memusnahkan hotel mewah dan gereja yang ketika itu meraikan Easter.

Presiden AS, Donald Trump menulis tweet: “Ucapan takziah daripada rakyat AS kepada Sri Lanka atas serangan kejam ke atas gereja dan hotel. Kami bersedia membantu!”

“Laporan mengejutkan dari Sri Lanka mengenai serangan berdarah ke atas hotel dan gereja pada Hari Easter Ahad. Ucapan takziah kepada mangsa dan saudara mangsa,” tweet Perdana Menteri Belanda Mark Rutte selepas berita awal serangan.

Paus Francis melahirkan kesedihan terhadap serangan itu dalam ucapan tradisi Easter di Vatican.

“Saya mahu menzahirkan perasaan dukacita terhadap komuniti Kristian yang diserang ketika berdoa dan semua mangsa tindakan kejam,” katanya.

Perdana Menteri Australia, Scott Morrison dalam satu kenyataan berkata: “Ketika sambutan Hari Easter Ahad berakhir hari ini di Australia, perasaan simpati kami kepada masyarakat Kristian dan semua mangsa tidak bersalah yang dibunuh dalam serangan kejam hari ini.”

Sebulan selepas puluhan penduduk Islam dibunuh dalam tembakan dua masjid di Christchurch, New Zealand, Perdana Menteri Jacinda Ardern menyifatkan serangan Sri Lanka sebagai ‘menyayat hati.’

“New Zealand mengutuk semua tindakan keganasan dan semangat kami semakin kukuh selepas serangan di bumi kami pada 15 Mac. Melihat serangan di Sri Lanka ketika penduduk berada dalam gereja dan hotel agak menyayat hati.”

Perdana Menteri Pakistan Imran Khan mengucapkan takziah kepada Sri Lanka.

“Mengutuk sekeras-kerasnya serangan kejam di Sri Lanka pada Hari Easter yang mengakibatkan kehilangan nyawa dan ratusan lain cedera,” tweet beliau.

Jirannya India menerusi Perdana Menteri Narendra Modi juga mengecam ‘serangan pengganas bersiri’ dalam satu kenyataan kerajaan. -AFP

Leave a Reply