M Update, 23/04/2019 – Pihak berkuasa Arab Saudi mengeluarkan amaran cuaca ketika ribut pasir besar-besaran menyerang negara pentadbiran diraja itu.
Angin berkelajuan 31 kilometer sejam membadai ibu kota ini semalam, menyebabkan gangguan lalu-lintas meluas akibat tahap penglihatan rendah.
Ribut pasir juga mencetuskan masalah di rantau Al-Jouf, Sempadan Udara dan Qassim serta Wilayah Timur dan Najran.
Pihak Berkuasa Meteorologi dan Perlindungan Alam Sekitar meramalkan, keadaan cuaca itu berterusan sehingga hari ini di Wilayah Timur, Najran dan bahagian selatan ibu kota ini.
Bahagian timur di kawasan tanah tinggi selatan serta rantau Makkah dan Madinah juga diberi amaran untuk jangkaan angin kencang menerbangkan partikel pasir. Ribut petir turut diramalkan di kawasan tanah tinggi Jazan, Asir, Baha dan Taif.
Pegawai lalu-lintas di sini menasihatkan pemandu supaya memandu perlahan serta menggunakan lampu kenderaan manakala Direktorat Umum Pertahanan Awam menggesa penduduk di ibu kota supaya tidak keluar rumah.
Pakar kesihatan memberi amaran, pendedahan kepada ribut pasir mungkin menyebabkan kesukaran bernafas terutama individu yang mengalami masalah pernafasan.
Suhu maksimum direkodkan ketika ribut pasir di sini adalah 28 darjah Celsius hingga menurun ke 14 darjah Celsius.
Dalam perkembangan lain, kawasan perbandaran Makkah, Arab Saudi kini bersiap sedia mengaktifkan pelan dan program sempena sambutan Ramadan bulan depan.
Ia sudah menggerakkan semua potensi pelan yang bakal dilaksanakan dengan menyediakan perkhidmatan perbandaran terbaik kepada penduduk, jemaah dan pelawat ke bandar suci itu.
Laporan Arab News menyebut, usaha itu termasuk mengekalkan kebersihan awam, kawalan pembuangan sampah dan makhluk perosak serta pemeriksaan susulan ke atas kedai berkaitan kesihatan awam selain memeriksa barangan makanan untuk pengesahan.
Pegawai perbandaran, Mohammed bin Abdullah Al-Quwaimi berkata: “Pihak kami melaksanakan pelan untuk memperhebat usaha di semua jabatan pusat dan perbandaran kecil mengikut tugas khusus bagi setiap sektor.” -Agensi