Input your search keywords and press Enter.

Tindakan Diambil Perlu Ada Budi Bicara, Perikemanusiaan – PM

M Update, 28/04/2021 – Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, hari ini mengingatkan agensi penguat kuasa yang menjalankan kawalan dan pemantauan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) mencegah Covid-19 supaya menggunakan pendekatan lebih berhemah.

Katanya, ketegasan penting untuk memastikan peraturan dipatuhi tetapi dalam masa sama perlu ada budi bicara dan perikemanusiaan terhadap tindakan bakal dikenakan.

“Perlu ada budi bicara dan perikemanusiaan dalam tindakan yang diambil menurut ruang lingkup undang-undang supaya usaha kita untuk mendidik masyarakat atau komuniti akan lebih diterima.

“Hal ini sangat penting, terutamanya dalam situasi pandemik Covid-19 yang memberi kesan sangat besar kepada kehidupan rakyat. Ada (rakyat) yang berikhtiar menjalankan perniagaan kecil-kecilan untuk menampung perbelanjaan seperti menjual burger, makanan ringan, minuman ataupun hasil tanaman masing-masing.

“Mereka ini bukanlah pemilik syarikat atau pertubuhan perniagaan yang besar tetapi hanya pemegang lesen untuk berniaga sendiri secara kecil-kecilan,” katanya ketika berucap pada Majlis Pelancaran Pertandingan Komuniti Zon Hijau Covid-19, hari ini.

Muhyiddin turut berharap kerjasama dan persefahaman yang baik antara masyarakat serta pihak penguat kuasa akan mampu memperkasakan lagi komuniti untuk bersama-sama menjayakan usaha membendung penularan jangkitan virus Covid-19. Katanya, yakin jika sikap saling mengingatkan ini diamalkan, maka amalan norma baharu dalam kehidupan dapat dibudayakan.

Media sebelum ini melaporkan peniaga burger dan colek di Kelantan masing-masing dikenakan kompaun RM50,000 kerana beroperasi lebih masa. Peniaga berkenaan mendakwa didatangi penguat kuasa melakukan pemantauan terhadap pematuhan SOP dan terus menulis kompaun dengan nilai berkenaan.

Kedua-dua peniaga kecil itu tidak berkemampuan untuk menjelaskan kompaun terbabit dengan peniaga colek berkata lebih memilih memasuki penjara. Sementara, Kementerian Kesihatan (KKM) semalam memaklumkan akan menilai semula kes berkenaan peniaga burger terbabit sama ada diberi pengurangan atau pengecualian. – HM Online