Input your search keywords and press Enter.

Warga Emas Maut Dirempuh Lori

M Update, 23/4/2019 – Seorang penunggang motosikal maut selepas terbabit dalam kemalangan dengan sebuah lori di Jalan Wawasan, Bandar Baru Ampang di sini, petang tadi.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Hamzah Alias, berkata ketika kejadian, mangsa yang menunggang Yamaha LC sedang menghala ke Jalan Wawasan dari arah Bandar Baru Ampang, manakala lori yang dipandu lelaki Indonesia berusia 51 tahun itu dalam perjalanan ke stor simpanan lori di Lembah Jaya dari arah Jalan Wawasan.

Dalam kemalangan kira-kira jam 4.50 petang itu, lelaki berusia 60 tahun yang menetap di Jalan 12, Ampang Campuran, di sini meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah dialaminya. Siasatan awal mendapati penunggang motosikal cuba memintas jalan dengan menggunakan laluan pejalan kaki khusus untuk pelajar sebuah sekolah menengah yang terletak berhampiran untuk ke laluan bertentangan. Pemandu lori yang tidak sempat mengelak dan terus merempuh motosikal berkenaan menyebabkan penunggangnya maut di tempat kejadian,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Katanya, pemeriksaan mendapati pemandu lori berkenaan mempunyai lesen memandu sah dan ujian saringan air kencing pula didapati negatif dadah. Lori berkenaan akan dihantar untuk pemeriksaan di Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (PUSPAKOM). Sementara itu, mayat mangsa di hantar ke Hospital Kuala Lumpur untuk bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” kata Hamzah.

Katanya, saksi kemalangan itu diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Muhamad Yusaiful Basir, di talian 011-13078348 atau mana-mana balai polis berhampiran. – BH Online

Leave a Reply