Input your search keywords and press Enter.

Kerajaan Tentukan SOP Pelajar IPT Balik Kampung

M Update, 21/4/2020 – Majlis Keselamatan Negara (MKN), Kementerian Kesihatan (KKM) dan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) akan mengeluarkan prosedur operasi standard (SOP) untuk menguruskan perjalanan pulang pelajar universiti ke rumah masing-masing.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata antara SOP yang diambil kira ialah tempoh yang perlu diambil untuk melakukan proses saringan kesihatan terhadap kira-kira 100,000 pelajar universiti terbabit dan bagaimana mengelak pergerakan secara massa.

“Kita akan menyediakan SOP, tetapi bila akan dibenarkan pulang, mungkin belum ditetapkan lagi sebab jika mereka perlu membuat saringan, jumlah pelajar kira-kira 100,000 tentu jangka masa yang lama untuk dilakukan.

“Berdasarkan faktor itu, barulah boleh ditentukan nanti bila tarikh untuk dibenarkan pulang. Kalau dibenarkan pulang nanti MKN, KKM dan KPT akan mengeluarkan SOP penghantaran pulang.

“Yang penting, kita tidak mahu banyak pergerakan kerana tidak mahu pergerakan besar-besaran berlaku. Bayangkan jika balik serentak, bas berbondong-bondong balik dan singgah di hentian rehat dan rawat (R&R), akan berlaku pertembungan yang besar, kita nak cuba elak perkara ini,” katanya pada sidang media di Putrajaya, hari ini. – BH Online

Leave a Reply