Input your search keywords and press Enter.

Interpol Selamat 216 Kanak-Kanak Mangsa Pemerdagangan Manusia

M Update, 24/04/2019 – Polis berjaya menyelamatkan 216 mangsa pemerdagangan manusia, kebanyakan kanak-kanak dari dijadikan buruh paksa dan pelacur dalam satu operasi besar-besaran di Benin dan Nigeria.

Interpol dalam satu kenyataan hari ini berkata, Operasi Epervier II membabitkan 100 pegawai polis dari kedua negara itu berjaya menyelamatkan 157 hamba kanak-kanak dalam serbuan yang diadakan awal bulan ini.

Menurut badan antarabangsa itu, kebanyakan kanak-kanak terbabit dikerah bekerja di pasar menjual pelbagai jenis barangan, membawa muatan berat atau mengangkat air manakala segelintir lain diupah sebagai pembantu rumah dan ada yang dipaksa melakukan aktiviti pelacuran.

Seramai 36 daripada mangsa terdiri daripada lelaki dan 121 lagi adalah kanak-kanak perempuan.

Pengarah Jenayah Terancang Interpol, Paul Stanfield berkata, siasatan menyeluruh sedang dijalankan bagi melumpuhkan rangkaian jenayah yang bergerak aktif di Benin dan Nigeria, iaitu sumber, transit serta destinasi utama penyeludupan manusia.

“Ini adalah kumpulan jenayah terancang yang menjadikan wang sebagai motivasi.

“Adalah sangat mencabar untuk menghentikan operasi mereka kerana kekurangan maklumat,” katanya sambil menambah, kedua-dua negara terbabit semakin bersedia menghadapi segala kemungkinan.

Susulan serbuan, polis turut menahan 47 individu disyaki penyeludup dan merampas kenderaan, wang tunai, telefon bimbit dan komputer dari kumpulan itu yang menjadikan lapangan terbang, pelabuhan dan kedua-dua ibu negara sebagai pasaran sasaran.

Kesemua mangsa yang diselamatkan itu berusia antara 11 hingga 16 tahun serta berasal dari Benin, Burkina Faso, Niger, Nigeria dan Togo. – Reuters

Leave a Reply