Input your search keywords and press Enter.

Pendaki Malaysia Terkandas Atas Gunung Annapurna

M Update, 25/04/2019 – Seorang lelaki warga Malaysia dilaporkan terkandas berhampiran puncak Gunung Annapurna di Nepal, hari ini.

Menurut penganjur ekspedisi, pendaki itu dipercayai terpisah daripada kumpulan ekspedisi ketika turun dari puncak gunung terbabit.

Lelaki berusia 48 tahun itu dilaporkan mendaki puncak gunung Himalaya setinggi 8,100 meter terbabit, semalam, bersama sekurang-kurangnya 13 pendaki lain.

Namun, beliau gagal kembali ke kem terdekat yang terletak satu kilometer di bawah puncak.

Penganjur ekspedisi Seven Summit Treks, Thaneshwor Guragain, berkata pemandu arah lelaki itu mula menyedari ketiadaan lelaki itu ketika berada di kem berkenaan, semalam, selepas dua pendaki dikatakan tertinggal di belakang.

“Maklumat mengenai keadaan pendaki masih tidak jelas, namun pemandu arah beliau memaklumkan mustahil untuk menyelamatkan mangsa seorang diri. Namun, kami mengetahui lokasinya.

“Kami sedang berhubung dengan kedutaan Malaysia mengenai rancangan seterusnya,” kata Guragain.

Sementara itu, beberapa ahli ekspedisi sedang menunggu di kem dengan bekalan oksigen tambahan dengan harapan dapat bertemu lelaki itu, namun usaha menghantar helikopter dengan bekalan terjejas akibat cuaca buruk.

Difahamkan, lelaki Malaysia itu kembali ke Nepal, selepas mendaki Gunung Everest, tahun lalu.

Secara teknikal, pendakian Gunung Annapurna lebih sukar dan cenderung mengalami runtuhan salji serta mempunyai kadar kematian lebih tinggi berbanding Everest. – AFP

Leave a Reply