M Update, 25/04/2019 – Dua pekerja domestik Indonesia yang dijatuhi hukuman mati kerana mengamalkan sihir terhadap keluarga majikan mereka di Arab Saudi tiba di republik ini semalam selepas hukuman mereka dibatalkan, kata Kementerian Luar Indonesia.
Amah terbabit dikenali Sumartini dan Warnah, tiba di ibu kota ini selepas menjalani hukuman penjara lebih 10 tahun di Arab Saudi, kata seorang pegawai kementerian, Lalu Muhammad Iqbal.
Wanita terbabit dijatuhi hukuman mati oleh sebuah mahkamah di Riyadh pada 2009 namun hukuman mereka dikurangkan pada awal tahun ini selepas bertahun rundingan antara Indonesia dan negara pentadbiran diraja itu.
“Selepas melalui rundingan sukar, kedutaan berjaya meyakinkan kerajaan Arab Saudi, amah terbabit dibebaskan dan dibenarkan pulang ke tanah air,” kata Duta Indonesia ke Arab Saudi, Agus Maftuh Abegebriel kepada AFP.
Arab Saudi mencatat kadar hukuman mati tertinggi dunia dengan mereka yang disabitkan atas kesalaha keganasan, homisid, rogol, rompakan bersenjata dan mengedar dadah berdepan hukuman mati penalti.
Negara itu menghukum mati 37 orang atas jenayah ‘keganasan’ kelmarin, menjadikan jumlahnya lebih 100 orang tahun ini, menurut Agensi Berita Saudi (SPA).
Sumartini dituduh menggunakan ilmu hitam yang menyebabkan anak lelaki majikannya berusia 17 tahun hilang, walaupun remaja itu kemudian ditemui masih hidup.
Sementara Warnah, dituduh menyihir isteri pertama majikannya menyebabkan wanita itu mengalami sakit misteri, lapor media Indonesia.
Aktivis Indonesia menuntut pembebasan dua amah terbabit selama bertahun dan melancarkan bantahan jalanan ketika kunjungan Raja Arab Saudi, Raja Salman bin Abdul Aziz Al Saud pada 2017.
Indonesia sekian lama mengadu layanan buruk terhadap pekerja pendatangnya di luar negara dan pada 2015 memperkenalkan larangan kemasukan pekerja domestik baharu di 21 negara Asia Barat.
Jakarta memfailkan bantahan rasmi dengan Arab Saudi selepas negara itu menghukum mati seorang amah tanpa memaklumkan keluarga atau kakitangan konsular pada Oktober tahun lalu.
Amah terbabit dihukum mati kerana membunuh majikannya dalam tindakan dikatakan mempertahankan diri daripada penderaan seksual. -AFP