Input your search keywords and press Enter.

Isu 3R: Kajian Undang-Undang Akan Dibentang Kepada Kabinet

M Update, 25/07/2023 – Perbincangan dan kajian mengenai undang-undang berkaitan isu 3R (agama, raja dan kaum) termasuk sama ada akta baharu diperkenal akan dibentang kepada Jemaah Menteri dalam mesyuarat Kabinet minggu ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institut) Datuk Seri Azalina Othman Said berkata pembentangan kajian fasa pertama itu akan dilakukan secara menyeluruh sebelum sebarang ketetapan dibuat.

“Menerusi sesi libat urus yang terdiri daripada Perbincangan Kumpulan Fokus dan Dialog Perundangan 3R baru-baru ini, ia bukan membincangkan undang-undang baharu… saya jemput Badan Peguam dan pihak berkepentingan untuk bincang hala tuju sebab ada yang berpendapat undang-undang sedia ada mencukupi.

“Namun ada juga kata perlu ada cara undang-undang lain seperti di Singapura dan Australia, sebenarnya Kabinet mengarahkan Kementerian Perpaduan dan Bahagian Undang-Undang untuk terlibat dalam perbincangan tersebut.

“Insya-Allah, pada mesyuarat Kabinet minggu ini saya akan bentangkan daripada kesimpulan perbincangan yang telah dijalankan… itu merupakan fasa pertama… perlukan banyak lagi perbincangan dengan pelbagai pihak,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Konvensyen Komunikasi Media MADANI: Komunikasi Strategik dan Digital di sini hari ini.

Sebelum ini, media melaporkan kerajaan mengkaji untuk mewujudkan akta baharu berdasarkan aspek sivil yang mungkin dinamakan Akta Negara Bangsa mirip Akta Keharmonian Kaum di Singapura dan cadangan itu dibentangkan kepada Jemaah Menteri pada mesyuarat Kabinet.

Mengulas lanjut, Azalina berkata pihaknya perlu melihat secara menyeluruh termasuk aspek perpaduan dan jangka panjang termasuk elemen dalam politik yang menggunakan 3R jika mahu mewujudkan undang-undang baharu berkaitan 3R itu. – Bernama