M Update, 25/04/2019 – Seorang perancang pelan damai Asia Barat Amerika Syarikat (AS) bagi menamatkan konflik Palestin-Israel menulis di Twitter semalam, mendedahkan satu lagi elemen bahawa ia tidak memasukkan perikatan dengan negara jiran, Jordan.
Wakil Asia Barat Presiden Donald Trump, Jason Greenblatt, menulis tweet Jumaat lalu, menafikan laporan, cadangan itu akan memasukkan sebahagian kawasan padang pasir Mesir di Sinai yang bersebelahan wilayah terkepung Gaza, diperintah Hamas.
Semalam, Greenblatt menafikan, pelan itu membayangkan perikatan antara Jordan, Israel dan Pihak Berkuasa Palestin (PA) yang mentadbir pemerintahan terhad di jajahan Tebing Barat.
“@KingAbdullahII (Raja Abdullah) & #Jordan adalah sekutu kuat AS. Khabar angin bahawa visi damai kami memasukkan perikatan antara Jordan, Israel dan PA atau visi itu menimbang menjadikan Jordan tanah air untuk Palestin adalah tidak benar. Tolong jangan sebarkan khabar angin,” tulis Greenblatt.
Penasihat kanan Rumah Putih, Jared Kushner, seorang lagi perancang utama pelan damai berkata kelmarin, ia akan mendedahkannya kepada umum selepas Ramadan berakhir Jun ini.
Kushner, yang berkahwin dengan anak perempuan Trump, Ivanka dan bercakap dalam satu forum majalah Time di Washington, tidak mengatakan jika pelan itu menggesa penyelesaian dua negara, matlamat usaha damai lalu AS.
Pemimpin Palestin menggesa penubuhan sebuah negara bebas bersama Israel di Tebing Barat dan Semenanjung Gaza dengan Timur Baitulmaqdis sebagai ibu kotanya.
Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu yang menang penggal kelima dalam pilihan raya dua minggu lalu, menggariskan syarat terhadap penubuhan negara Palestin dalam satu ucapan dasar utama pada 2009.
Namun rundingan damai dibroker AS itu runtuh 2014, sebahagiannya berhubung peluasan penempatan haram Israel, dalam wilayah diduduki Palestin untuk dijadikan negara mereka.
Pelan damai AS itu, yang ditangguhkan atas pelbagai alasan sejak 18 bulan lalu, memiliki dua komponen utama iaitu isu politik yang menangani isu penting seperti status Baitulmaqdis dan ekonomi yang menyasar membantu Palestin mengukuhkan ekonomi mereka.
Pemimpin Palestin berkata, Trump tidak boleh menjadi broker jujur selepas melanggar dasar sekian lama AS dan mengiktiraf bandar ini sebagai ibu kota Israel pada 2017 serta memindahkan kedutaan negara itu ke sini Mei lalu. -Reuters