Input your search keywords and press Enter.

Hina agama Hindu: Pendakwah bebas direman

M Update, 29/4/2019 – Penceramah bebas yang dikatakan ada kaitan dengan pendakwan terkenal Dr Zakir Naik, ditahan reman empat hari bagi membantu siasatan kes menghina agama Hindu dalam media sosial.

Pemangku Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Abdul Hamid Bador, berkata tangkapan ke atas suspek dilakukan susulan lebih 700 laporan polis yang diterima di seluruh negara terhadap satu klip video yang dianggap mempunyai unsur penghinaan terhadap agama Hindu oleh suspek.

Setakat ini, kita menerima sebanyak 790 laporan polis di seluruh negara berhubung klip video berkenaan yang dimuat naik di laman YouTube oleh pemilik akaun, Info Sunnah Kelantan. Sehubungan itu, seorang penceramah ditahan semalam di Arau, Perlis dan suspek direman empat sehingga 1 Mei depan untuk membantu siasatan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan.

Katanya lagi, siasatan ke atas suspek berusia 34 tahun itu dilakukan mengikut Seksyen 298A Kanun Keseksaan iaitu alasan agama, menyebabkan suasana tidak harmoni, perpecahan atau permusuhan, benci membenci atau niat jahat atau memudaratkan pemeliharaan keharmonian atau perpaduan. Tambah beliau, siasatan juga dilakukan mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 iaitu penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian dan lain-lain.

Pada masa sama, Abdul Hamid berkata polis juga sedang mengesan pemilik akaun YouTube, Info Sunnah Kelantan bagi membantu siasatan.

“Kita menasihatkan orang ramai agar tidak menyalah gunakan media sosial atau sebarang rangkaian komunikasi untuk memuat naik atau berkongsi apa juga bentuk provokasi yang membangkitkan ketegangan kaum,” tegas beliau.

Terdahulu, Ketua Polis Daerah Kangar, Superintendan Wari Kiew, memaklumkan suspek yang juga pengerusi sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) ditahan kira-kira jam 2.30 pagi di hadapan sebuah restoran. Suspek yang juga pemimpin pertubuhan berkaitan tabligh dikatakan mempunyai beberapa rekod jenayah lampau. – BH Online

Leave a Reply