Input your search keywords and press Enter.

Penerbangan Ihsan Bawa Bayi Orang Asli

M Update, 29/4/2019 – Bayi lelaki Orang Asli berusia sebulan yang pengsan akibat demam panas dikejarkan ke Hospital Gua Musang (HGM) dengan penerbangan ihsan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) semalam.

Makili Selem dari Pos Balar, Gua Musang diterbangkan ke HGM dengan menggunakan helikopter Agusta AW139 2 petang semalam. Ibu bayi itu, Julia Along, 41, berkata, anak bongsu daripada lima beradik itu menghadapi masalah kesihatan seminggu selepas dilahirkan. Katanya, dua hari lalu, anaknya itu diserang demam panas dan mengalami masalah pernafasan.

Saya tidak dapat bawa anak keluar melalui jalan darat untuk mendapatkan rawatan di hospital sebelum mendapatkan bantuan Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA). Terima kasih kepada semua pihak terutama bomba dan JAKOA kerana membantu anak mendapatkan rawatan,” katanya.

Sementara itu, Pegawai Perhubungan Awam Pangkalan Udara Subang, Penolong Penguasa Bomba, Mohd Farhan Marzuki berkata, pihaknya menerima laporan berhubung bayi Orang Asli pengsan itu melalui JAKOA Gombak 7 pagi. Helikopter yang berpangkalan di Bertam, Pulau Pinang diarahkan ke lokasi 1.15 tengah hari dan tiba di Pos Balar 2.04 petang.

Bayi yang masih belum sedarkan diri itu diterbangkan ke Balai Bomba dan Penyelamat Gua Musang 2.39 petang sebelum dibawa ke HGM dengan ambulans untuk rawatan. Kita difahamkan, bayi itu dilaporkan stabil selepas terima rawatan,” katanya. – HM Online

Leave a Reply