M Update, 3/5/2019 – Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, kerajaan sedang memikirkan untuk mengalihkan waktu bekerja siang kepada waktu malam dalam sektor pekerjaan tertentu.
Perdana Menteri berkata, langkah itu bagi memudahkan pekerja tempatan, terutama mereka yang terpaksa bekerja di tengah panas. Katanya, ia juga sebagai langkah menggalakkan rakyat bekerja dalam sektor yang kini bergantung kepada tenaga kerja asing.
“Rakyat kita tidak mahu bekerja dalam sektor kotor, berpanas, bahaya dan berisiko menyebabkan pekerja asing merebut peluang dan bekerja dalam sektor itu. Untuk itu, kerajaan kini mahu mempermudahkan supaya kerja yang berat, berpanas, kotor dan bahaya itu dipermudahkan. Jika tidak sanggup kerja berat, kita jadikan ringan dengan bantuan mesin. Jika mahu bekerja dalam bangunan dan tidak mahu berpanas, kerajaan sedang memikirkan untuk memperkenalkan waktu bekerja pada waktu malam,” katanya.
Sekarang ada 7 juta pekerja asing yang mana mereka ini menghantar pendapatan ke negara asal. Dianggarkan RM60 bilion wang kita di hantar ke luar negara oleh pekerja asing ini setiap tahun,” katanya.
Dr Mahathir berkata, bukan satu yang mustahil untuk dilaksanakan waktu kerja malam kerana zaman sekarang ada kemampuan dan bantuan daripada teknologi. Jika gelap kita boleh pasang lampu LED yang jimat tenaga seperti orang kaya yang main golf pada malam hari,” katanya.
Beliau turut memberi contoh kemungkinan penanaman padi juga boleh dibuat sebelah malam dengan bantuan lampu yang jimat tenaga dan teknologi jentera moden. Bagi yang bekerja di panas terik, sekarang kita boleh bina rumah dalam bangunan. Dengan bantuan kren, kerja pembinaan menjadi lebih mudah dan ini juga boleh dilaksanakan pada waktu malam,” katanya.
Waktu bekerja pada sebelah malam katanya turut dilaksanakan di beberapa negara lain. Ada negara pada bulan puasa di siang hari mereka tidur dan malam hari mereka bekerja, ini semua sedang kita fikirkan,” katanya. Beliau berkata, dengan waktu kerja malam, tidak timbul lagi isu pekerja berpanas dan kebergantungan kepada tenaga asing dapat dikurangkan. – BH Online