Input your search keywords and press Enter.

Fasa Kelima Pilihan Raya India Bermula Hari Ini

M Update, 06/05/2019 – Fasa kelima proses pilihan raya umum India, bermula hari ini, membabitkan lebih 87 juta penduduk di tujuh negeri, di bahagian utara negara itu.

Tujuh fasa pilihan raya India bermula pada 11 April lalu dan fasa terakhir akan berlangsung pada 19 Mei ini, sebelum keputusan diumumkan pada 23 Mei depan.

Proses pengundian hari ini, membabitkan beberapa wilayah penting di utara, termasuk Uttar Pradesh, iaitu negeri yang mempunyai paling ramai anggota Parlimen.

Terdahulu, sepanjang kempen, Perdana Menteri, Narendra Modi mempertahankan rekod keselamatan kebangsaan yang dilaksanakannya.

Secara khusus, ia menyentuh pendirian tegasnya ke atas negara jiran, Pakistan, susulan serangan bom oleh kumpulan militan Pakistan pada Februari lalu.

Serangan di wilayah Kashmir itu mengorbankan 40 polis separa tentera India.

Uttar Pradesh juga adalah lokasi menempatkan kumpulan nasionalis Hindu, yang mendesak pembinaan semula kuil di atas tapak masjid di Ayodhya, yang menjadi punca ketegangan dengan penduduk minoriti Islam.

“Isu utama di sini, adalah kuil, nasionalisme dan pembangunan ekonomi,” kata jurucakap Majlis Hindu Sedunia, Sharad Sharma.

Majlis Hindu Sedunia atau Vishwa Hindu Parishad adalah kumpulan yang dikaitkan dengan parti pimpinan Modi, Parti Bharatiya Janata (BJP). 

Leave a Reply