M Update, 06/05/2019 – Seorang lelaki dijatuhi hukuman mati oleh Mahkamah Tinggi Malawi kerana membunuh seorang remaja albino, hukuman pertama di negara yang menyaksikan serangan dan pembunuhan golongan albino semakin meningkat.
Willard Mikaele, 29, didapati bersalah membunuh Mphatso Pensulo, 19, di daerah selatan Thyolo pada 2017.
“Dia merancang membunuh remaja albino untuk menjadi kaya kerana mengikut nasihat dukun,” kata Hakim Maclean Kamwambe ketika menjatuhkan hukuman pada Jumaat lalu, di Thyolo.
“Berulang kali diingatkan bahawa akan ada waktu apabila hukuman mati tidak dapat dielakkan kerana keadaan dan ia perlu dikhaskan untuk keadaan sedemikian,” kata hakim itu.
Malawi tidak pernah menjatuhkan hukuman mati sejak 1994, dengan kebanyakan hukuman mati diganti dengan penjara seumur hidup.
Pakar bebas Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk albino, Ikponwosa Ero berkata, keputusan itu menunjukkan kesedaran pihak berkuasa Malawi berhubung peningkatan serangan terhadap golongan albino.
“Saya memerhati dengan penuh minat, apa yang kelihatan seperti kebangkitan kerajaan Malawi berbanding dengan keganasan dahsyat yang sedang berlaku di negara ini membabitkan golongan albino,” katanya kepada AFP semalam, sambil melahirkan bangkangan kuat terhadap hukuman mati.
Malawi, adalah antara negara paling miskin di dunia dan sangat bergantung dengan bantuan negara luar, berdepan masalah peningkatan serangan terhadap golongan albino sejak akhir 2014.
Dalam kebanyakan kes yang membabitkan golongan albino, mereka diserang untuk mendapatkan anggota badan untuk tujuan pemujaan untuk menjadi kaya dan nasib yang baik.
Laporan Amnesty Antarabangsa pada 2018 mendedahkan sejak November 2014, sebanyak 148 jenayah serangan terhadap golongan albino dilaporkan membabitkan 21 kematian. – AFP