Input your search keywords and press Enter.

Mayat Terapung Di Tasik Cyberjaya Disyaki Mangsa Bunuh

M Update, 13/02/2023 – Polis mengklasifikasikan penemuan mayat lelaki yang terapung di tasik belakang Masjid Haji Fisabilillah, Cyberjaya, semalam sebagai kes bunuh.

Ketua Polis Daerah (IPD) Sepang, Asisten Komisioner Wan Kamarul Azran Wan Yusoff, berkata polis menerima laporan pada 10.15 malam daripada seorang individu memaklumkan melihat satu mayat terapung di kawasan berkenaan.

Menurutnya, Jabatan Siasatan Jenayah IPD Sepang bersama pasukan forensik hadir di tempat kejadian yang merupakan sebuah kawasan bekas tasik dan menemui mayat lelaki terapung. Katanya, sepasukan Bomba daripada Balai Bomba dan Penyelamat (JBPM) Cyberjaya dipanggil bagi membantu mengangkat mayat ke tebing tasik.

Wan Kamarul berkata, hasil siasatan mendapati terdapat unsur jenayah melalui pemeriksaan dan mengesan lima tetakan di kepala dan pergelangan tangan kiri mangsa yang hampir putus.

Menurutnya, saksi menyatakan kira-kira 8 malam dia melihat hadapan sebuah kereta berada dalam tasik berkenaan. Katanya, saksi pergi memeriksa kenderaan itu dan mendapati satu objek menyerupai manusia dalam keadaan terapung berpakaian lengkap berada di dalam tasik itu pada jarak kira-kira tiga meter.

“Pemeriksaan di sekitar kawasan tanah lapang seluas lima ekar di kawasan itu menjumpai sebuah kenderaan jenis Hilux berwarna hitam terjunam ke dalam tasik,” katanya.

Wan Kamarul berkata, kawasan tasik itu juga tidak berpagar dan boleh dimasuki secara bebas dan merupakan tumpuan pemancing. Katanya, polis masih menjalankan siasatan dan kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan (KK). – Harian Metro