M Update, 8/5/2019 – Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) hari ini melakukan serbuan ke atas salah sebuah premis makanan popular di bandar raya ini yang dipercayai menjual makanan kepada umat Islam yang tidak berpuasa.
Pengarahnya, Datuk Mohd Yusop Husin berkata, tindakan itu dibuat hasil aduan orang ramai termasuk dalam kalangan masyarakat bukan Islam.
“Premis tersebut merupakan antara ‘hot spot’ yang sering dikunjungi oleh mereka yang tidak berpuasa atau lebih dikenali sebagai geng plastik hitam. Oleh itu, saya menyeru kepada mereka supaya bertaubat sebelum datangnya ajal kerana berpuasa di bulan Ramadan merupakan sebahagian daripada Rukun Islam,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Dalam pada itu, Mohd Yusop berkata, tiada sebarang tangkapan dibuat dalam operasi itu kerana pihaknya lebih mengambil pendekatan untuk menasihati mereka yang terlibat. Bagaimanapun katanya, JAIPk akan terus memantau perkara tersebut bagi memastikan kesucian bulan Ramadan tidak terus dicemari dengan perbuatan tidak bertanggungjawab itu. – Utusan Online