Input your search keywords and press Enter.

Seorang maut, 7 lagi cedera dalam insiden tembak di Colorado

M Update, 08/05/2019 – Seorang pelajar terbunuh manakala tujuh lagi cedera selepas dua pelajar lelaki bersenjata melepaskan tembakan di sebuah sekolah sains dan teknologi di Denver sebelum ditahan, kata pihak berkuasa.

Difahamkan semua pelajar Sekolah Sains, Teknologi Kejuruteraan dan Matematik (STEM) di Highlands Ranch, pedalaman Denver yang cedera pada awalnya berada dalam keadaan kritikal, kata County Sheriff, Tony Spurlock dalam satu taklimat ringkas.

Seorang pelajar berusia 18 tahun kemudian disahkan meninggal dunia, kata Spurlock.

Menurut Spurlock, ketika kejadian dua individu menceroboh STEM sebelum berpecah ke dua lokasi berbeza di sekolah berkenaan.

Suspek hanya dikenal pasti sebagai dua pelajar lelaki sekolah terbabit, seorang dewasa dan seorang lagi di bawah 18 tahun, kata sheriff.


Pelajar dipindahkan dari Pusat Rekreasi di Northridge di Highlands Ranch selepas insiden tembakan di STEM School Highlands Ranch, Colorado. – Foto AFP


Rakaman televisyen menunjukkan kenderaan polis berada di luar sebuah kediaman di pinggir bandar berkenan, kira-kira 3.2 kilometer (km) dari sekolah, dipercayai rumah seorang daripada suspek.

Timbalan Sheriff tiba di sekolah yang terletak kira-kira 40 km di selatan Denver itu dalam masa dua minit sebaik menerima laporan dan terus menahan suspek, katanya.

Pihak berkuasa bagaimanapun enggan mengulas lanjut motif sebenar serangan yang turut dibantu Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI). – Reuters

Leave a Reply