Input your search keywords and press Enter.

Guru bertudung terpaksa tukar sekolah

M Update, 09/05/2019 –  Sebelas guru Islam yang mengajar di sekolah Kristian terpaksa ditukarkan kerana gangguan berterusan yang dialami disebabkan mereka memakai tudung.

Gabenor wilayah Western Province di negeri itu, Azath Salley, terpaksa campur tangan dalam perbalahan selepas guru berkenaan dilarang memasuki sekolah Puwakpitiya Tamil Maha Vidyalaya, terletak kira-kira 30 kilometer dari Colombo.

Ibu bapa sekolah berkenaan selain bekas pelajar menghalang guru terbabit memasuki premis, memberitahu mereka cuma dibenarkan masuk jika memakai sari.

Tindakan kumpulan itu susulan pengeboman di hotel dan gereja di Sri Lanka ketika sambutan Easter, yang menyebabkan 268 maut dan ratusan lagi cedera.

Susulan letupan itu, Presiden Maithripala Sirisena, mengenakan larangan pemakaian niqab untuk memudahkan pegawai keselamatan mengenal pasti orang ramai, tetapi abaya atau tudung dibenarkan.

Bercakap bagi pihak guru yang dilarang memasuki sekolah, Fathima Shafeena, memberitahu beliau sudah bertugas di sekolah itu lebih enam tahun dan berasa terhina dengan layanan diterima.

“Hijab adalah pakaian Islam dan mereka tidak boleh meminta saya menggantikannya dengan sari,” katanya, menambah langkah itu mencabul hak asasi manusia.

Seorang lagi guru, Fathima Afrah, berkata beliau dan seorang lagi rakannya yang beragama Islam dihalau dari premis berkenaan di hadapan pelajar dan rakan setugas mereka, dan tidak akan kembali kerana malu.

“Walaupun ia bukan sekolah Islam, saya tidak mengamalkan diskriminasi ketika mengajar di dalam kelas,” katanya.

Salley mengadakan mesyuarat dengan pegawai pendidikan kanan daerah dan guru petang kelmarin, yang memutuskan untuk memindahkan guru terbabit ke sekolah lain di wilayah itu.

Pengetua sekolah berkenaan, P Manoharan, berkata sekolah itu mempunyai 800 pelajar dan 41 guru, dan 35 peratus pelajar beragama Kristian.

Katanya, beliau tidak tahu mengenai bantahan yang dilakukan ibu bapa dan bekas pelajar itu. — Agensi

Leave a Reply