M Update, 10/5/2019 – Tiga sekeluarga ditemukan tidak sedarkan diri di dalam kenderaan pelbagai guna (MPV) mereka Sabtu lalu.
Dalam kejadian di pekarangan sebuah masjid di Riau itu, dua daripada mangsa ditemukan dalam keadaan terbaring di kerusi pemandu dan penumpang, manakala seorang lagi di kerusi penumpang bahagian belakang. Ketika kejadian, enjin kenderaan mangsa masih hidup dengan pendingin hawa berfungsi manakala cermin kereta tertutup rapat.
Menurut laporan portal berita Liputan 6, kejadian itu mencetuskan kekecohan apabila orang awam yang berada di sekitar Masjid At Taqwa Kampar mendapati keluarga itu tidak memberi respon apabila cermin kereta keluarga itu diketuk. Usaha menyelamat telah dilakukan namun pihak berkuasa memaklumkan seorang mangsa disahkan meninggal dunia.
Ketiga-tiga mangsa dari Pekanbaru yang dilaporkan singgah untuk berehat di pekarangan masjid itu pengsan akibat terhidu gas bocor menerusi ruang pendingin hawa. Menurut polis, dua mangsa yang lemas dikenali sebagai Farid dan Novrianti telah dibawa ke hospital terdekat.
Pasangan suami isteri itu dikhabarkan masih dirawat Unit Rwatan Rapi (ICU). Sementara mangsa yang meninggal dunia bernama Faris Alfarab, 14, di tempat duduk belakang ditemui dengan kesan mulut berbuih,” kata Deni. – Astro Awani