Input your search keywords and press Enter.

Kerajaan Tubuh Jawatankuasa Khas Kajian Hukuman Gantian terhadap Hukuman Mati Mandatori

M Update, 6/9/2019 – Kerajaan bersetuju untuk menubuhkan sebuah Jawatankuasa Khas Kajian Hukuman Gantian terhadap Hukuman Mati Mandatori.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Liew Vui Keong, berkata perkara itu diputuskan pada mesyuarat Jemaah Menteri pada 29 Ogos lalu. Beliau berkata, jawatankuasa khas itu akan dipengerusikan seorang bekas Ketua Hakim Negara dan ahlinya terdiri daripada bekas Hakim Mahkamah Persekutuan dan bekas pegawai Jabatan Peguam Negara.

Katanya, ahli lain ialah bekas pegawai kanan Jabatan Penjara Malaysia, wakil Majlis Peguam, wakil Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (SUHAKAM), ahli akademik, pakar kajian jenayah dan wakil pertubuhan masyarakat sivil (CSO).

Jawatankuasa khas ini berperanan untuk mengkaji dan menasihatkan kerajaan mengenai cadangan dasar penghukuman alternatif sebagai hukuman gantian terhadap hukuman mati. Cadangan penghapusan hukuman mati mandatori ini adalah selaras dengan Janji 27 dalam manifesto Pakatan Harapan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Vui Keong berkata, pemansuhan hukuman mati mandatori akan memberi budi bicara kepada hakim untuk menjatuhkan hukuman mati atau hukuman alternatif berdasarkan fakta kes. Kerajaan mengambil langkah proaktif dan berhati-hati dengan menubuhkan jawatankuasa khas ini bagi memastikan hukuman alternatif ini adalah setimpal dengan kesalahan jenayah yang dilakukan serta mengambil kira implikasi dan kebajikan terhadap mangsa perlakuan jenayah berkenaan,” katanya.

Rang undang-undang bagi meminda hukuman mati mandatori dijangka dibentang pada Oktober ini di Dewan Rakyat, selepas kerajaan memutuskan tempoh hukuman penjara yang setimpal sebagai alternatif kepada hukuman maksimum itu. Terdapat 33 kesalahan di bawah akta sedia ada yang membawa hukuman mati dengan 11 daripadanya adalah mandatori. Daripada 11 kesalahan itu, sembilan adalah jenis kesalahan di bawah Kanun Keseksaan dan dua lagi mengikut Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971. – BH Online

Leave a Reply