M Update, 13/05/2019 – Seramai lima orang cedera apabila gempa bumi berukuran 6.1 magnitud melanda Panama, menyebabkan kerosakan premis perniagaan serta kediaman, kata seorang pegawai.
Pusat Kajian Geologi Amerika Syarikat (USGS) berkata, gempa kuat itu berada pada kedalaman 37 kilometer di barat negara itu berdekatan sempadan Costa Rica
Sistem Perlindungan Awam Kebangsaan (Sinaproc) berkata lima orang cedera dan empat buah rumah rosak dalam kejadian itu, yang berlaku kira-kira 22 kilometer dari bandar Puerto Armuelles.
Menurut Sinaproc, dua daripada rumah terbabit musnah.
Terdahulu, Presiden Juan Carlos Varela menerusi laman Twitter berkata, hanya seorang cedera di Puerto Armuelles. Beliau turut melaporkan beberapa rumah dan premis perniagaan musnah di rantau Amerika Tengah itu.
Setakat ini, Pusat Amaran Tsunami Pasifik tidak mengeluarkan sebarang amaran berhubung kejadian itu.
Pada November 2017, gempa 6.5 magnitud di perairan Pasifik dekat Coasta Rica. Gegaran menyebabkan dua rumah bergoyang dan dua mangsa meninggal dunia disebabkan serangan jantung ketika gempa berlaku.
Sementara itu dua bulan lebih awal iaitu pada September 2017, gempa berukuran 7.1 magnitud mengorbankan lebih 300 orang di Mexico. – AFP