Input your search keywords and press Enter.

Penjawat awam perlu sokong aspirasi, dasar kerajaan PH

M Update, 13/5/2019 – Kerajaan Pakatan Harapan (PH) tidak akan mengambil apa-apa tindakan terhadap penjawat awam yang menjadi ahli parti politik lain, termasuk Barisan Nasional (BN) atau PAS.

Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abdul Samad berkata, penyertaan dalam mana-mana parti bukan satu paksaan, sebaliknya ia adalah hak masing-masing. Bagaimanapun, beliau menegaskan sebagai penjawat awam, golongan terbabit perlu menyokong dasar dan aspirasi kepemimpinan kerajaan hari ini ke arah matlamat dipersetujui majoriti rakyat.

“Ke mana-mana saya pergi, saya tidak kisah jika ada yang mahu menyokong PAS, BN, PKR kerana bukan tugas saya mahu ubah semua untuk menjadi ahli Parti Amanah Negara (AMANAH). Tugas saya untuk membentuk satu pentadbiran yang bersih dari rasuah dan berpegang kepada prinsip amanah serta bertanggungjawab dalam melaksanakan tugas diamanahkan kepada kami.

Namun, jika ada yang tidak mahu terima sebagai matlamat bersama atas alasan tidak menyokong PH, kamu bukan mengkhianati PH, sebaliknya mengkhianati rakyat dan negara,” katanya. Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Berbuka Puasa dan Majlis Taklimat Lembaga Kenaf dan Tembakau Negara (LKTN), di sini.

Khalid yang juga Ahli Parlimen Shah Alam berkata, semua pihak kini perlu mengenepikan soal parti, sebaliknya perlu ada satu matlamat bagi pemulihan imej agar agar Malaysia tidak lagi dilihat sebagai negara yang memiliki pemimpin kleptokrat. Kalau ada imej sebegini mungkin kita tidak rasa, cakap berdegar-degar tetapi orang naik muak. Orang jijik dengan Islam sebab akhlak Islam, cakap Islam, namun tidak amanah, berlaku rasuah dan perkauman,” katanya. – BH Online

Leave a Reply