Input your search keywords and press Enter.

JKNS : Penumpang AirAsia Batuk Disahkan Negatif COVID-19

Foto : Hiasan

M Update, 3/3/2020 – Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Sarawak mengesahkan seorang penumpang Air Asia AK5651 dari Kuala Lumpur (KLIA2) ke Miri pada 26 Februari yang dikesan mengalami batuk ketika saringan kesihatan oleh anggota kesihatan di Lapangan Terbang Miri negatif Covid-19.

Pengarah JKN Sarawak, Dr Chin Zin Hing berkata, penumpang berkenaan adalah seorang rakyat tempatan yang baru pulang dari China. Katanya, penumpang terbabit dimasukkan ke wad isolasi Hospital Miri pada hari yang sama sebagai Pengesanan Kes Yang Disyaki (PUI) bagi jangkitan Covid-19.

“Susulan itu, siasatan makmal untuk ujian saringan dan ujian ulangan bagi Covid-19 yang dijalankan dan mendapati penumpang terbabit negatif. “Dia kemudian dibenarkan keluar daripada hospital hari ini, namun masih diletakkan di bawah pengawasan di rumah selama 14 hari,” katanya dalam kenyataan semalam.

Mengenai gambar tangkap layar komunikasi e-mel antara JKN Sarawak dengan AirAsia yang meminta maklumat penumpang dan kru kabin pesawat berkenaan, Dr Chin berkata, ia adalah prosedur biasa yang diamalkan pihaknya.

“Adalah menjadi ketetapan biasa untuk pihak JKN Sarawak menghubungi pihak syarikat penerbangan bagi mendapatkan senarai dan butiran penumpang serta kru pesawat yang disyaki berkemungkinan dijangkiti apa-apa penyakit berjangkit termasuk Covid-19.

“Langkah itu diambil sebagai tindakan kesiapsiagaan dalam pengawalan dan pencegahan penularan penyakit,” katanya.

Selain itu, beliau menegaskan bahawa sehingga kini, tiada kes disahkan dijangkiti CovidD-19 di Sarawak. – HM Online

Leave a Reply