Input your search keywords and press Enter.

Tahniah Datuk Mazlan..

M Update, 13/5/2019 – Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman, Datuk Mazlan Mansor dilantik Timbalan Ketua Polis Negara yang baharu berkuat kuasa 9 Mei lalu.

Mazlan, 58, dilantik menggantikan Tan Sri Noor Rashid Ibrahim yang bersara secara rasmi pada 17 Mac lalu. Majlis penyerahan surat lantikan diserahkan sendiri Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada satu program khas, hari ini.

Ia turut dihadiri Ketua Polis Negara, Datuk Seri Hamid Bador dan Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri (KDN), Datuk Seri Alwi Ibrahim. Muhyiddin berkata, pelantikan Mazlan diperkenankan Yang di-Pertuan Agong dengan nasihat Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad atas perakuan Suruhanjaya Pasukan Polis.

Katanya, beliau percaya dan yakin pengalaman dimiliki Mazlan dalam Polis Diraja Malaysia (PDRM) dapat membimbing pasukan keselamatan itu khususnya dalam meningkatkan keyakinan orang awam. Gandingan mantap beliau (Mazlan) dan Abdul Hamid diharap dapat meningkatkan imej PDRM sebagai sebuah pasukan keselamatan yang disegani serta dihormati.

“Saya juga berharap KDN dan PDRM dapat berganding bahu bersama-sama menangani isu keselamatan dalam negeri termasuk melaksanakan aspek penguatkuasaan undang-undang dengan adil serta bijaksana,” katanya.

Mazlan yang juga anak kelahiran Bukit Mertajam, Pulau Pinang menjawat pelbagai jawatan dalam PDRM dengan jawatan terakhirnya adalah Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman sejak 29 Januari lalu. Sementara itu, Abdul Hamid ketika ditemui turut mengesahkan empat jawatan kanan dalam PDRM akan diumumkan dalam minggu ini.

Jawatan berkenaan adalah Pengarah Cawangan Khas, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah dan Pengarah Jabatan Siasatan Narkotik serta Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman. – BH Online

Leave a Reply