Input your search keywords and press Enter.

Tiga maut, 10 cedera dan tiga hilang nahas dua pesawat laut

M Update, 14/05/2019 – Seramai tiga maut manakala 10 cedera dan tiga lagi dilaporkan hilang dalam kemalangan membabitkan dua pesawat laut di tenggara Alaska.

Pengawal pantai, Jon-Paul Rios ketika dihubungi di Juneau berkata, dua pesawat itu masing-masing membawa 11 dan lima penumpang terbabit dalam nahas di laut, kira-kira 40 hingga 48 kilometer di timur laut Ketchikan.

Menurut Pengurusan Penerbangan Persekutuan (FAA), lokasi nahas itu terletak di Coon Cove berhampiran George Inlet, iaitu kawasan pelancongan popular berdekatan Monumen Nasional Misty Fjords, kira-kira 480 kilometer di selatan Juneau, ibu negeri Alaska.

Jurucakap FAA, Allen Kenitzer memetik maklumat pihak berkuasa berkata, satu daripada pesawat berkenaan disahkan sebagai Havilland DHC-2 Beaver yang membawa lima penumpang manakala sebuah lagi adalah Havilland Otter DHC-3 membawa 11 individu.

Rios terdahulu melaporkan, 10 penumpang dari dua pesawat diberikan rawatan perubatan manakala enam lagi disahkan hilang.

Beliau kemudiannya mengesahkan bahawa tiga mangsa disahkan meninggal dunia dan keadaan enam penumpang lain yang tercedera masih belum diketahui.

Kenitzer berkata, kedua-dua pesawat terbabit tidak berada di bawah kawalan trafik udara ketika nahas dan punca kejadian masih belum diketahui. – Reuters

Leave a Reply