Input your search keywords and press Enter.

Peningkatan suhu Artik punca puluhan paus kelabu ditemui mati

M Update, 17/05/2019 – Puluhan paus kelabu ditemui mati di sepanjang Pantai Barat Amerika Syarikat (AS) sejak beberapa minggu lalu dan segelintir ahli sains berpendapat ia disebabkan suhu Artik yang semakin meningkat di luar perairan Alaska.

Menurut Pengurusan Atmosfera dan Laut Nasional (NOAA), sebanyak 58 ekor paus kelabu ditemui terdampar dan mati sepanjang tahun dari California hingga Alaska.

Penemuan terbaru diumumkan Rabu lalu oleh NOAA membabitkan seekor paus kelabu di Turnagain Arm, sebuah saluran sempit glasier di luar perairan Anchorage, satu kawasan yang jarang diterokai haiwan berkenaan.

“Haiwan itu berhijrah dari kawasan sejuk di Mexico ke bahagian utara dan terkeluar dari laluan sebenar,” kata jurucakap Perkhidmatan Perikanan NOAA, Michael Milstein.

Menurut Milstein, kesemua bangkai paus yang diperiksa setakat ini menunjukkan tanda kekurangan nutrisi dan andaian terbaru ialah haiwan berkenaan gagal memperoleh makanan mencukupi ketika musim panas tahun lalu di laut Bering dan Chukchi di luar Alaska.

“Itu ialah kawasan lazim untuk haiwan berkenaan memburu makanan dan mengumpul lemak untuk membolehkan ia bertahan sehingga musim panas seterusnya.

“Orang ramai berpendapat ada sesuatu yang berlaku sehingga menyukarkan kesemua paus itu memburu makanan,” katanya.

Kebanyakan bangkai paus terbabit ditemui di Pantai San Francisco dan Puget Sound di luar Seattle.

“Haiwan itu mungkin berhenti kerana memburu atau terlalu lemah dan mencari tempat untuk berehat,” katanya. – Reuters

Leave a Reply