Input your search keywords and press Enter.

Wabak campak AS merebak ke Oklahoma, 41 kes baharu dicatat

M Update, 21/05/2019 – Wabak campak terburuk di Amerika Syarikat (AS) dalam tempoh 25 tahun sudah merebak ke Oklahoma, kata pihak berkuasa kesihatan persekutuan semalam ketika mereka melaporkan 41 kes baharu di seluruh negara.

Ia menjadikan jumlah mangsa yang dijangkiti wabak itu tahun ini kepada 880 orang.

Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit Amerika Syarikat (CDC) melaporkan peningkatan 4.9 peratus jumlah kes campak dari 10 hingga 17 Mei yang kini merebak di 24 negeri. Agensi itu menyediakan kemas kini setiap minggu pada setiap Isnin.

CDC berkata, ada satu kes disahkan di Oklahoma.

Jurucakap CDC, Jason McDonald berkata, kebanyakan kes baharu dicatat di New York dengan 21 kes direkodkan di Bandaraya New York dan sembilan di Rockland County.

Pakar kesihatan berkata, virus itu merebak di kalangan murid sekolah yang enggan diberi vaksin oleh ibu bapa mereka.

Kalangan ibu bapa AS terutama masyarakat Yahudi ultra Ortodoks di NYC memetik kebimbangan vaksin itu mungkin menyebabkan autisme, walaupun kajian saintifik menolaknya.

Walaupun virus campak dihapuskan dari AS pada 2000, bermaksud penyakit tidak lagi wujud, wabak masih berlaku menerusi pelawat yang tiba dari negara yang biasa dijangkiti campak, menurut CDC.

Pakar memberi amaran, wabak itu belum berakhir ketika jumlah kes semakin menghampiri angka 1994 sebanyak 958. Itu adalah jumlah tertinggi sejak 1992 apabila CDC merekodkan 2,126 kes.

Pihak berkuasa persekutuan berkata, lebih 40 orang pada tahun ini membawa virus campak ke AS dari negara lain, kebanyakannya Ukraine, Israel dan Filipina. -Reuters

Leave a Reply