Input your search keywords and press Enter.

Kanak-kanak Hilang Jari Tersepit Mesin

M Update, 21/5/2019 – Seorang kanak-kanak lelaki berusia tiga tahun kehilangan jari telunjuk tangan kirinya selepas tersepit di dalam mesin pengisar di sebuah premis di Kampung Delek Kanan, Klang, semalam.

Dalam kejadian jam 9 pagi, kanak-kanak warga Indonesia itu terpaksa menanggung kesakitan kira-kira 30 minit sebelum diselamatkan anggota bomba. Difahamkan, ketika kejadian, mangsa berada di situ kerana mengikuti ibunya yang bekerja di premis membuat makanan terbabit.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Zon Klang Samsol Maarif Saibani berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 9.09 pagi sebelum sepasukan anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Kota Raja dikejarkan ke lokasi kejadian. Menurutnya, sebaik tiba di lokasi kejadian, sebahagian tangan kiri kanak-kanak itu didapati terperangkap di dalam mesin berkenaan. Mesin terbabit adalah bagi pelbagai kegunaan dan berada di atas meja ketika kejadian.

Dipercayai ketika kejadian, ibu mangsa sedang melakukan kerja lain dan kanak-kanak itu memasukkan tangannya ke dalam mesin terbabit,” katanya. Beliau berkata, anggota bomba menggunakan peralatan khas bagi mengeluarkan tangan kanak-kanak itu dan mengambil masa kira-kira 10 minit untuk melakukannya. Anggota paramedik dari Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) turut berada di lokasi untuk bantuan susulan,” katanya. Menurutnya, operasi ditamatkan pada jam 9.54 pagi dan kanak-kanak itu kini dirawat di HTAR. – HM Online

Leave a Reply