M Update, 23/5/2019 – Seorang bapa lapan anak dipenjara 20 tahun dan dikenakan 24 sebatan oleh Mahkamah Sesyen, di sini hari ini kerana merogol anak kandungnya sebanyak tiga kali tahun ini.
Hakim Elesabet Paya Wan menjatuhkan hukuman itu ke atas tertuduh yang berusia 45 tahun selepas dia mengaku bersalah sebaik semua tiga pertuduhan ke atasnya dibacakan jurubahasa.
Mengikut semua pertuduhan, tertuduh yang bekerja sebagai pembantu jualan air didakwa merogol anak perempuannya yang berusia 16 tahun pada 27 Februari, 22 Mac dan 21 April 2019 antara jam 2 hingga 2.30 pagi di rumahnya di Taman Bukit Larang Indah, di sini. Bagi perbuatan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 376(3) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara hingga 30 tahun dan 10 sebatan jika sabit kesalahan.
Prosiding pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Lee Wai Yee memohon hukuman berat dikenakan ke atas tertuduh dengan mengambil kira mangsa adalah anak kandung dan remaja perempuan itu kini mengalami trauma. Menurutnya, perbuatan itu hanya terbongkar selepas guru mangsa menyedari terdapat kesan calar di pergelangan tangan pelajarnya. Bagaimanapun, tertuduh yang tidak diwakili peguam, merayu supaya hukuman ringan dikenakan ke atasnya dengan alasan sudah insaf selain perlu menanggung lapan anak termasuk, seorang orang kurang upaya (OKU).
Mengikut fakta kes, mangsa dikatakan sering diminta tidur dalam bilik bapanya. Difahamkan, mangsa juga pernah bertindak mahu membunuh diri tetapi disedari oleh gurunya. Tertuduh dikatakan akan menghisap dadah terlebih dahulu sebelum bertindak merogol mangsa. Selepas mendengar hujah kedua-dua pihak, mahkamah kemudian memerintahkan tertuduh dipenjara 20 tahun dan 10 sebatan bagi setiap pertuduhan bermula dari tarikh ditangkap pada 17 Mei 2019.
Elesabet turut memerintahkan hanya 24 sebatan dibenarkan merujuk kepada Seksyen 288 Kanun Prosedur Jenayah (CPC) yang hanya membenarkan 24 sebatan maksimum bagi pesalah dewasa. – BH Online